Trend dunia kurangkan jejak karbon beri impak positif: PM

Ismail Sabri bercakap pada Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri bercakap pada Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, trend semasa dunia yang dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon, memberi impak perkembangan cukup positif buat negara.

Menurut Ismail Sabri, ini kerana peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) tempatan.

"Mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, negara dalam hal ini perlu memanfaatkan kelebihan dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui (IRENA) Francesco La Camera.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.

"Ini termasuk penyediaan mekanisme dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif melalui teknologi moden dan pintar, bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien.

"Perkara ini penting dalam menjadikan Malaysia lebih mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing kerana kelebihannya menyediakan capaian kepada bekalan elektrik hijau yang berkualiti," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah diminta menerajui perubahan dasar ini dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

Beliau yakin Malaysia yang diberkati pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai, sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, negara mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau.

"Oleh itu, saya menyambut baik laporan awal kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) tentang senario peralihan tenaga yang boleh kita laksanakan.

"Saya berharap laporan akhir METO yang akan dimuktamadkan nanti, bakal menjadi panduan penetapan hala tuju peralihan tenaga negara sehingga tahun 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi negara neutral karbon 2050," katanya.

Mengulas mengenai persidangan ISES, Ismail Sabri percaya ia akan membuka peluang kepada penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari untuk berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

"Saya berharap dasar, amalan dan inisiatif terbaik yang sedia dipraktikkan dan terbukti berjaya, boleh diaplikasi dan disesuaikan untuk dilaksanakan, agar Malaysia juga boleh menyumbang dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat global," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: