Pas akan pastikan PH tidak kembali berkuasa

Tangkap layar kenyataan Khairil Nizam di Facebook beliau pada Ahad.. (Kiri) Khairil Nizam
Tangkap layar kenyataan Khairil Nizam di Facebook beliau pada Ahad.. (Kiri) Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi kembali berkuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangannya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, PH terbukti gagal sepanjang 22 bulan mentadbir kerajaan Malaysia sebelum lahirnya Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan yang luar biasa sebagai wadah alternatif kepada rakyat.

"Kerajaan PH adalah sebuah kekesalan dalam episod sejarah politik tanah air apabila mereka memerintah dalam keadaan tidak bersedia, berpecah belah dan jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.

"Lebih malang lagi apabila PH yang dalam keadaan kucar-kacir serta hilang fokus ketika mentadbir, cuba merobek prinsip-prinsip tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas kepada jati diri negara dan rakyat Malaysia," dakwanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau pada Ahad.

Khairil Nizam menjelaskan, mimpi ngeri sepanjang 22 bulan PH mentadbir itu menjadi pengajaran bermakna buat rakyat Malaysia dan menjadi pedoman buat generasi Undi18 akan datang.

Menurutnya, PN telah menyambut ulang tahun kedua penubuhannya dan diraikan pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu.

"Pas menyokong penuh gagasan PN dalam konvensyen ini iaitu 'Prihatin Rakyat dan Malaysia Sejahtera' sebagai tawaran baru kepada pengundi menuju PRU15 akan datang.

"Pas akan memastikan agar kesemua jentera parti memberikan fokus 100 peratus bagi menghadapi PRU15," kata beliau.

Artikel Berkaitan: