Suspek kes samun diberkas

Mangsa mengalami kesan bengkak di muka dan pendarahan dalam kedua-dua belah mata.
Mangsa mengalami kesan bengkak di muka dan pendarahan dalam kedua-dua belah mata.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun seorang wanita di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Jalan Metro Perdana Kepong pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 12.45 tengah malam, suspek berusia 35 tahun itu telah menunggu di hadapan pintu lif, sebelum bertindak menekup muka dan menarik mangsa sehingga ke tepi tangga.

"Suspek telah menumbuk muka mangsa berusia 28 tahun itu sehingga menyebabkan pendarahan di hidung dan bengkak di muka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Eng Lai berkata, suspek kemudian bertindak menekup mulut mangsa sehingga pengsan dan telah membawa lari wang tunai sebanyak RM150.

"Selepas kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur. Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kesan bengkak di muka dan pendarahan dalam kedua-dua belah mata," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis berjaya memberkas suspek terbabit pada jam 4 petang pada hari sama.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencingnya mendapati negatif," jelasnya.

Eng Lai berkata, suspek direman lima hari bermula Ahad hingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.