Gerakan sasar satu kerusi Parlimen, tujuh DUN di Negeri Sembilan

Dominic (dua dari kanan) ketika bergambar bersama tiga penerima Gerakan Young Scholar Award pada Ahad.
Dominic (dua dari kanan) ketika bergambar bersama tiga penerima Gerakan Young Scholar Award pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat untuk bertanding satu kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, bagi PRU15 ini pihaknya telah berbincang untuk bertanding di kerusi berkenaan iaitu N2- Temiang, N8-Bahau, N21-Bukit Kepayang, N22-Rahang, N24-Seremban Jaya, N30-Lukut dan N36-Repah.

"Kita tahu ada banyak tempat kita boleh bertanding terutamanya kawasan masyarakat Cina tetapi kita ingin fokus kawasan yang boleh menang.

"Apa yang penting kita akan fokus kepada kualiti dan bukannya kuantiti," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri ke-47, Wanita dan Pemuda ke-35 Gerakan di Seremban 2 pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Sembilan, Choong Vee Hing.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai calon, Dominic menjelaskan setakat ini masih belum ada senarai calon yang dimuktamadkan.

"Kita akan meneliti senarai calon yang dikemukakan oleh Ketua Badan Perhubungan Kawasan di setiap negeri sebelum diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat nanti," jelas beliau.

Sementara itu, Choong Vee berkata, berdasarkan perbincangan awal, PN Negeri Sembilan telah bersetuju menggunakan formula 4-3-1 dalam pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu Bersatu diperuntukkan empat kerusi Parlimen, Pas tiga kerusi dan satu daripada Gerakan tetapi keputusan itu belum dimuktamadkan, Gerakan negeri berhasrat untuk bertanding di Parlimen Rasah

"Berdasarkan analisis, Parlimen Seremban agak sukar kalau nak bertanding. Jikalau Anthony Loke Siew Fook (Parlimen Seremban) masih ada dekat sana tiada peluang untuk orang lain termasuklah BN. Jadi sebab itu kita fokus Parlimen Rasah kerana ada penyokong di DUN Seremban Jaya dan Bukit Kepayang," jelasnya.