Angka kematian di Tripoli meningkat kepada 23, cedera 140

Libya mengalami ketidakstabilan politik dan huru-hara sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011. - Gambar Al Jazeera
Libya mengalami ketidakstabilan politik dan huru-hara sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011. - Gambar Al Jazeera
A
A
A

KAHERAH - Lebih 20 orang maut manakala 140 lagi cedera di Tripoli, akibat pertembungan antara kumpulan bersenjata yang berpihak kepada dua kerajaan yang bersaing untuk memerintah negara itu, menurut kementerian kesihatan Sabtu.

Terdahulu pada Sabtu, kementerian kesihatan memaklumkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 87 cedera dalam pertempuran, yang meletus pada hari Jumaat di Tripoli antara kumpulan yang setia kepada ketua Kerajaan Perpaduan Negara, Abdul Hamid Dbeibeh, dan kumpulan yang berpihak kepada bakal Perdana Menteri Fathi Bashagha.

"Setakat ini 23 orang disahkan terbunuh, manakala 140 cedera," menurut kementerian kesihatan Libya dalam kemas kini lewat Sabtu, lapor Sputnik.

Seorang wakil kerajaan Bashagha memaklumkam bahawa pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan insiden yang berlaku pada Jumaat.

Menurut laporan media tempatan, kumpulan yang setia kepada Dbeibeh telah berjaya mengawal beberapa bangunan di Tripoli, yang dilaporkan sebagai pusat operasi ahli kumpulan yang setia kepada Bashagha.

Awal minggu ini, Bashagha meminta Dbeibeh agar meletak jawatan, tetapi Dbeibeh menasihati Bashagha untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya presiden yang akan datang.

Pada 1 Mac, Dewan Perwakilan Libya yang berpangkalan di Tobruk mengundi untuk membentuk kabinet baharu diketuai oleh bakal Perdana Menteri Fathi Bashagha, yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri dalam negeri Kerajaan Persetujuan Negara (GNA).

Kerajaan sementara Perpaduan Nasional yang diketuai oleh Abdul Hamid Dbeibeh, yang dilantik tahun lalu dan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, enggan melepaskan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Dbeibeh berkata bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyerahkan pentadbiran kerajaan sebelum pilihan raya presiden.

Pada hari yang sama, Misi Sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran yang berterusan, "termasuk kejadian tembakan sederhana dan berat secara sembarangan di kawasan kejiranan awam di Tripoli".

Misi PBB menyeru permusuhan dihentikan segera dan mengingatkan semua pihak untuk memenuhi "kewajipan mereka di bawah hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan demi melindungi orang awam dan harta benda awam".

Libya mengalami ketidakstabilan politik dan huru-hara sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011. - Bernama