Kerajaan tak pernah berlembut isu hina Islam

Ahmad Marzuk (tiga dari kanan) semasa menyampaikan replika kunci van jenazah dan sumbangan Musaadah Bencana di Masjid Mukim Ar-Rahman Kampung Repek, Bachok pada Ahad.
Ahmad Marzuk (tiga dari kanan) semasa menyampaikan replika kunci van jenazah dan sumbangan Musaadah Bencana di Masjid Mukim Ar-Rahman Kampung Repek, Bachok pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Kerajaan mengambil serius isu penghinaan terhadap agama Islam dengan memastikan pelaku dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan itu dapat dilihat apabila pelaku yang berbuat demikian sudah dikenakan tindakan.

"Sama ada disiasat, didakwa dan juga kalau ada kes yang terbukti bersalah dengan peruntukan undang-undang sedia ada kita akan kenakan tindakan.

"Hal ini termasuklah hukuman denda dan penjara. Situasi ini jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berlembut dalam isu melibatkan penghinaan Islam," katanya ketika diminta mengulas isu penghinaan terhadap Islam.

Sebelum itu, Ahmad Marzuk menyampaikan replika kunci van jenazah dan sumbangan Musaadah Bencana di Masjid Mukim Ar-Rahman Kampung Repek di sini pada Ahad.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Imam Masjid Saidina Ali Bin Abi Talib Bukit Sekilau, Izudin Muhamad Amin semasa menyampaikan khutbah Jumaat menyatakan sikap berlembut kerajaan terhadap golongan yang sering mempermain atau mempersendakan hukum-hakam Islam menjadi punca kepada rosaknya akhlak dan pemikiran generasi muda hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, kerajaan akan mencari pelaku yang menghina agama Islam sehingga ke lubang cacing bagi memastikan mereka yang terlibat menerima hukuman setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, sama ada hukuman syariah atau sivil kerajaan akan melihat mana-mana peruntukan yang sesuai.

Artikel Berkaitan: