Kastam rampas air zamzam tiruan

Sazali (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 238 botol air zamzam dipercayai tiruan yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru pada Ahad.
Sazali (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 238 botol air zamzam dipercayai tiruan yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah kilang di Senai yang dijadikan lokasi pembungkusan air zamzam tiruan diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada 15 Jun lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan empat pekerja warga asing dan rampasan 238 botol berkapasiti lima liter setiap botol bernilai RM11,700 termasuk cukai.

"Hasil pemeriksaan rapi dilakukan menjumpai sejumlah botol yang disyaki berisi air zamzam, kotak pembungkusan kosong air zamzam, plastik bungkusan dan botol kosong yang disembunyikan di dalam premis tersebut.

"Pihak pemilik premis telah gagal mengemukakan sebarang invois atau bukti bagi pengimportan air zamzam apabila diminta berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini pada Ahad.

Katanya, empat pekerja asing terdiri daripada warga Yaman dan Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu dalam kes berasingan, lapan motosikal berkuasa tinggi yang dibawa masuk dari negara jiran dirampas JKDM Johor di sebuah rumah kediaman di Taman Perling pada 25 Julai lalu.

"Hasil siasatan mendapati kesemua motosikal berkuasa tinggi tersebut tidak bercukai dianggarkan bernilai RM876,000.

"Seorang wanita warga Vietnam berusia 36 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.