Detik persaraan Serena kian hampir

Serena ingin meluangkan masa bersama keluarga dan anak, Alexis Olympia setelah mengakhiri karier profesional sebagai pemain tenis akhir bulan ini. - Foto Agensi.
Serena ingin meluangkan masa bersama keluarga dan anak, Alexis Olympia setelah mengakhiri karier profesional sebagai pemain tenis akhir bulan ini. - Foto Agensi.
A
A
A

LEGENDA tenis dunia, Serena Williams sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal setelah 27 tahun secara profesional aktif dalam sukan itu sehingga layak digelar pemain terhebat sepanjang zaman.

Mencecah usia 40 tahun, ikon sukan itu menamatkan teka-teki mengenai masa depannya awal bulan ini apabila mendedahkan bahawa dia 'mengira detik' untuk persaraannya.

Penampilan terakhir Grand Slamnya adalah Terbuka Amerika Syarikat di New York yang akan bermula Isnin ini.

“Ada masanya dalam hidup apabila kita perlu membuat keputusan untuk bergerak ke arah yang berbeza.

“Masa itu sentiasa sukar apabila anda sangat menyukai sesuatu,” ujar Serena.

Pengakhiran kiraan detik persaraan itu memaklumkan bahawa pentas yang akan menjadi perpisahan penuh emosi buat Serena ialah di Stadium Arthur Ashe esok.

Pemain AS itu akan berdepan pemain ke-80 dunia, Danka Kovinic dari Montenegro pada pusingan pertama.

Serena memenangi gelaran pertamanya daripada 23 gelaran perseorangan Grand Slam ketika berusia 17 tahun di Terbuka AS 1999 selepas menewaskan Martina Hingis di final.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu menyaksikan bahawa dia yang membuat kemunculan lebih awal di peringkat profesional di samping kakaknya, Venus menjadi kuasa yang semakin meningkat naik dalam tenis wanita.

Semasa meraih gelaran perseorangan pertama pada 1999, Serena sebenarnya sudah memenangi gelaran beregu campuran di Wimbledon dan Terbuka AS pada 1998.