Pancaragam srikandi ATM meriahkan Hari Kebangsaan 2022

Pasukan pancaragam wanita ATM bakal memeriahkan acara perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini. - Foto Bernama
Pasukan pancaragam wanita ATM bakal memeriahkan acara perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pancaragam wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal memeriahkan acara perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Pegawai Brass Band Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Lt Nurul Fatin Hajar Ismadi berkata, ini merupakan satu penghormatan yang diberikan ATM kepada 30 anggota wanita Tentera Darat dalam mempelbagaikan kemahiran mereka selain aktiviti pertahanan negara.

"Kali pertama pancaragam ini beraksi adalah ketika sambutan Hari Tentera Darat pada 2016 dan kumpulan ini ditubuhkan pada 2015.

"Selepas itu, kami pernah menyertai perarakan Hari Kebangsaan pada 2019 iaitu sebelum negara dilanda wabak Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Fatin berkata, penyertaan kali kedua dalam perarakan Hari Kebangsaan amat dinantikan dan merupakan peluang mereka mempersembahkan keunikan yang dimiliki srikandi ATM negara.

"Kalau kita lihat memang ada persembahan pancaragam oleh tentera wanita namun kebiasaanya kumpulan-kumpulan ini bercampur (lelaki dan wanita) dan mempunyai limit bagi penyertaan untuk golongan wanita,” katanya.

Sementara itu, pemain Drum Major Brass Band RSD, Staf Sarjan Farziana Adam berkata, mengendalikan persembahan adalah satu cabaran kerana mereka perlu memegang instrumen yang berat dalam tempoh masa yang lama sambil berjalan.

"Cabaran yang juga perlu ditempuhi...memandangkan secara keseluruhannya dianggotai oleh wanita yang berkahwin, perlu berkorban masa dan tenaga meninggalkan anak dan keluarga jika terlibat dalam penugasan di luar kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah cabaran sebagai seorang wanita dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga. Sebagai satu-satunya brass band yang keseluruhannya dianggotai wanita beruniform di Malaysia, kami merancang untuk lebih dikenali dan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana bagi menceburi bidang muzik dalam ketenteraan,” katanya.

Brass Band RSD ditubuhkan pada 26 Okt 2015 di Kem Perdana Sungai Besi hasil cetusan idea Panglima Tentera Darat Ke-25 Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan direalisasikan oleh Ketua Pegawai Semboyan ketika itu Mej Jen Datuk Ahmad Hadiatullah Maknun Ridzuan.

Pasukan pancaragam itu telah terlibat dalam acara-acara rejimental di peringkat Tentera Darat dan Kebangsaan, selain pernah membuat persembahan pembukaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada 2017. - Bernama