PRU15: Segera pembahagian kerusi PN, mudahkan gerak kerja

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A
SERDANG - Perikatan Nasional (PN) perlu menyegerakan pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya gerak kerja bagi menghadapinya dapat dijalankan, demikian gesaan Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria.

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, pimpinan parti juga perlu memuktamadkan nama individu yang akan diketengahkan sebagai calon pada PRU15 di samping memuktamadkan logo parti yang akan digunakan.

"Untuk mencapai kemenangan, kita perlu merancang. Kita akan menghadapi PRU15 dan pembahagian kerusi mesti dibuat segera," katanya semasa menyampaikan ucapan perwakilan pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Konvensyen sehari itu disertai parti gabungan PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Senada dengan Razman adalah Ahli Jawatankuasa PN Kedah, Afnan Taib yang bukan sahaja mencadangkan pucuk pimpinan mengkaji logo parti, tetapi warna bendera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi pada setiap kali plihan raya.

Ketika mengutarakan cadangan itu, Afnan berkata, warna biru tua bendera ketika ini dengan tulisan Perikatan Nasional berwarna putih seakan-akan menyamai bendera Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengerusi PN Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya menyarankan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengkaji semula sistem pengambilan pelajar untuk memasuki institusi pengajian itu yang didakwa tidak lagi selari dengan matlamat penubuhannya.

Beliau berkata, MRSM yang tujuan asal penubuhan untuk membantu pelajar Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah, kini merupakan sekolah elit yang dipenuhi pelajar daripada keluarga berkemampuan, bukannya yang memerlukan.

Sehubungan itu, Muhammad Suhaimi mencadangkan supaya satu badan khas diwujudkan untuk mengesan pelajar cemerlang yang layak daripada golongan B40 dan luar bandar seterusnya menawarkan peluang menyambung pelajaran di MRSM.
Artikel Berkaitan:


"Apa salahnya kalangan ini diberi terus surat tawaran yang layak, keutamaan adalah golongan miskin B40 di luar bandar, jika mereka menolok barulah berikan tawaran kepada pelajar lain,” katanya. - Bernama