PN perlu letak 30 peratus calon muda pada PRU15

Wan Ahmad Fayhsal berucap pada sesi perbahasan sempena Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.
Wan Ahmad Fayhsal berucap pada sesi perbahasan sempena Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Perikatan Nasional (PN) perlu meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan muda sebagai calon bagi mewakili gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini bagi menunjukkan kepada pengundi sasar bahawa terdapat suara mewakili mereka yang membawa aspirasi orang muda.

Jelas Wan Ahmad Fayhsal, pengundi muda merupakan penentu keputusan dalam PRU15 nanti dan jika PN tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, gabungan itu bakal berdepan dengan kesukaran.

“Kalau kita tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, maka mana-mana parti politik pun yang bertanding akan berdepan kesukaran yang cukup besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan sempena Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, terdapat dua masalah dan cabaran utama yang perlu difikirkan oleh gabungan itu bagi menawan hati pengundi muda iaitu peluang pekerjaan dan juga isu menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya, jika kerajaan yang bakal memimpin kelak tidak mampu menurunkan kadar pengangguran dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan, PN bakal berdepan penolakan daripada pengundi muda.

Begitu juga dengan isu pendidikan tinggi katanya, segelintir golongan muda yang tamat sekolah dilihat tidak mahu menyambung pengajian ke IPT kerana melihatnya sebagai satu beban apabila bukan sahaja terpaksa menanggung hutang pengajian, malah peluang pekerjaan yang ada tidak setaraf dengan kelayakan mereka.

“Baru-baru ini Jabatan Perangkaan Malaysia menjelaskan lebih kurang 72 peratus anak muda kita yang baru habis sekolah, tak mahu melanjutkan pelajaran ke IPT.

“Ini satu jumlah yang besar dan akan menyumbang masalah kita untuk menjana kerjaya bagi yang berpendidikan tinggi.

Artikel Berkaitan:


“Ramai anak muda yang ada pada ketika ini melihat pendidikan tinggi sudah menjadi satu beban dengan hutang dan peluang pekerjaan yang tidak setaraf dengan apa yang mereka lakukan apabila belajar di universiti,” jelasnya.