Linangan air mata iringi ucapan anak Najib

Nooryana Najwa membaca kandungan surat yang dikirimkan oleh bapanya.
Nooryana Najwa membaca kandungan surat yang dikirimkan oleh bapanya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalirkan air mata sewaktu menyampaikan ucapan pada Taklimat Khas Presiden UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu.

Nooryana Najwa yang berbaju kurung merah turut beremosi apabila menceritakan Najib memintanya menyimpan tali leher kegemarannya.

"Hari Selasa, 23 Ogos adalah hari yang paling sukar untuk kami sekeluarga dan memori terakhir bersama daddy. Daddy sempat berbisik dan meminta saya menyimpan tali leher kegemaranya.

"Sejak kecil, saya lihat daddy mengikat tali leher dengan sempurna tanpa perlu melihat cermin.

"Saya pernah tanya, kenapa daddy tak kerja biasa seperti orang lain dan daddy menjawab, kalau kerja biasa seperti orang lain hanya boleh bantu beberapa orang saja tapi sebagai ahli politik, daddy boleh bantu dan mengubah kehidupan jutaan rakyat Malaysia," katanya.

Tambah Nooryana, hari ini juga kali pertama dalam tempoh 46 tahun bapanya tidak dapat menghadiri perhimpunan parti.

Sementara itu, anak sulung Najib, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, bapanya amat sayangkan UMNO dan menjadi antara individu yang mempertahankan UMNO selepas parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Beliau antara orang pertama yang ke depan mempertahankan parti. Dia tak minta parti pertahankannya dan sanggup dicaci, dikeji, difitnah.

“Saya harap pengorbanan ayah sehingga dipenjara tak disia-siakan, saya dan keluarga perlu tabah dan kuat. Saya minta penyokong UMNO kuat serta bangkit semula," ujar beliau.

Turut hadir, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak Najib.
Artikel Berkaitan:


Ketua Peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut diberi peluang memberikan penjelasan berhubung isu perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.