Sasar 15,200 peniaga kecil berdaftar program ReDI

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan 15,200 peniaga kecil dari sektor peruncitan mendaftar di bawah program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) menjelang tahun 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, KPDNHEP telah turun ke lapangan bersama rakan strategik penyedia perkhidmatan e-dompet ke seluruh negara khususnya di luar bandar dan di lokasi terpilih.

Menurutnya, setakat ini, hanya 5,321 peniaga kecil yang sudah berdaftar di bawah program ReDI sejak diperkenalkan oleh KPDNHEP pada 6 April 2021 di Putrajaya secara program rintis.

"Bagi mencapai sasaran 100 peratus peniaga kecil berdaftar, kita pada setiap tahun akan memastikan 3,750 penjaja dan peruncit akan berdaftar.

"Di Bera 1,000 peniaga kecil sudah berdaftar daripada jumlah keseluruhan iaitu sekitar 4,000. Jadi, kita harapkan sepanjang program ReDI ini berlangsung mereka dapat membuat pendaftaran," katanya.

Beliau pada sidang akhbar selepas berakhir pelancaran program inisiatif ReDi peringkat kebangsaan dan penjenamaan semula program jualan murah keluarga Malaysia (JMKM) di Dataran Kerayong di sini pada Sabtu.

Pelancaran program itu telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Alexander menjelaskan, objektif utama Program ReDI ialah untuk merapatkan jurang digital di bawah sektor peruncitan yang melibatkan peniaga kecil melalui penggunaan e-dompet yang lebih mudah dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kajian kementerian mendapati sektor peruncitan di bandar adalah lebih pantas beralih kepada penggunaan e-dompet berbanding sektor peruncitan di luar bandar.

"Sekiranya tiada langkah proaktif di ambil oleh kerajaan golongan peniaga sektor peruncitan di luar bandar dijangka akan jauh ketinggalan dalam arus digital yang pesat berkembang.

"Oleh itu, sebagai kementerian yang mengawal selia sektor peruncitan KPDNHEP telah mengambil langkah pro aktif untuk melaksanakan Program ReDI di lokasi luar bandar terpilih dan menjadi tumpuan bagi memastikan seluruh sektor peruncitan di dalam negara dapat beralih kepada model perniagaan digital," ujar beliau.

Selain daripada Program ReDI, Alexander berkata KPDNHEP juga telah memperkenalkan satu lagi program yang bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia akibat daripada kesan inflasi yang sedang kita alami pada masa ini.

Jelasnya, PJKM tersebut telah dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 2,433 lokasi PJKM telah dilaksanakan dengan jumlah pengunjung seramai 4.2 juta orang.

"Program ini sangat di tunggu-tunggu oleh rakyat pada setiap minggu dan menawarkan barangan keperluan pada harga yang sangat berpatutan sehingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran," tambah beliau.