Kerajaan perkasa ReDi kawasan luar bandar

Ismail Sabri menyerahkan replika cek kepada peniaga pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan ReDI dan Penjenamaan Semula Program JMKM peringkat kebangsaan di Dataran Kerayong pada Sabtu.
Ismail Sabri menyerahkan replika cek kepada peniaga pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan ReDI dan Penjenamaan Semula Program JMKM peringkat kebangsaan di Dataran Kerayong pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan akan memperkasa Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar dalam mengadaptasi ekonomi digital terutamanya pembayaran tanpa tunai di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana jurang perkembangan penggunaan ekonomi digital luar bandar khususnya dalam sektor peruncitan yang melibatkan ramai peniaga kecil dan penjaja masih jauh, jika dibandingkan di bandar.

"Dalam konteks ini, saya dimaklumkan inisiatif ReDI adalah merupakan salah satu program berimpak tinggi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-dompet untuk pengguna dan peniaga diperluaskan ke kawasan luar bandar.

"Tentunya kerajaan tidak mahu melihat golongan peniaga kecil dan penjaja di luar bandar seperti ini ketinggalan dalam arus ekonomi digital yang pantas bergerak ini. Bagi memastikan tiada mana-mana Keluarga Malaysia ketinggalan, jadi pelbagai inisiatif dirangka oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan ReDI dan Penjenamaan Semula Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) peringkat kebangsaan di Dataran Kerayong di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Ismail Sabri berkata, bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui e-dompet di bawah Bajet 2022 sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan di bawah inisiatif e-Pemula yang telah memanfaatkan sekitar dua juta belia di seluruh negara.

Tambah beliau, belia yang layak telah menerima sebanyak RM150 kredit melalui e-tunai menerusi aplikasi e-dompet terpilih.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif ini bukan sahaja dapat memanfaatkan golongan belia, tetapi peniaga juga akan mendapat manfaat secara langsung sekiranya mereka telah bersedia dengan ekonomi digital," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, inisiatif ReDi ini adalah langkah proaktif yang tepat pada masanya dan disokong oleh Bank Negara Malaysia dalam usaha mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.

Katanya, justeru kerajaan akan terus memastikan agenda digitalisasi ini dijadikan fokus utama untuk dilaksanakan di semua peringkat.

"Ini termasuklah memperluaskan kaedah pembayaran secara elektronik ke seluruh pelusuk negara.

"Melalui usaha ini, kerajaan yakin peralihan kepada kaedah elektronik seperti penggunaan e-dompet bukan sahaja mudah, cepat dan selamat, tetapi ianya dapat memberi peluang kepada peniaga untuk mengurus perniagaan mereka dengan lebih baik dan efisien," tegas beliau.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, bagi meningkatkan lagi kesedaran pengguna dan peniaga untuk beralih kepada penggunaan e-dompet, kerajaan melalui KPDNHEP akan menyediakan e-voucher Program Jualan Malaysia kepada pengguna bagi meringankan beban kewangan dan menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai.

Jelasnya, bagi tujuan itu kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk inisiatif e-voucher Program Jualan Malaysia ini yang bermula pada 30 Ogos 2022 hingga 31 Disember depan.

"E-voucher Program Jualan Malaysia ini boleh dimuat turun melalui aplikasi MySales Tracker yang disediakan oleh KPDNHEP.

"Sebagai tambahan, saya dimaklumkan khusus untuk Parlimen Bera insentif e-dompet sebanyak RM20 akan disediakan kepada 1,000 orang, selain e-dompet sebanyak RM100 bagi 1,500 kumpulan sasar terpilih dari setiap DUN di bawah Parlimen Bera. Terima kasih saya ucapkan kepada KPDNHEP," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengumumkan sebuah pejabat pintar KPDNHEP yang pertama di Malaysia lengkap dengan kemudahan digitalisasi terkini akan beroperasi di Bera mulai Januari depan.