Ekspo Malaysia Fest 2022 promosi pelbagai produk negeri

Ahmad merasmikan Ekspo Malaysia Fest 2022 di Singapore Expo, Changi, Singapura yang kini sedang berlangsung selama empat hari.
Ahmad merasmikan Ekspo Malaysia Fest 2022 di Singapore Expo, Changi, Singapura yang kini sedang berlangsung selama empat hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Ekspo Malaysia Fest 2022 yang sedang berlangsung di Singapore Expo, Changi, Singapura selama empat hari sehingga Ahad ini menawarkan pelbagai produk segar Malaysia.

Sebanyak 220 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai ekspo itu bagi mempromosi dan memasarkan produk melambangkan negeri-negeri di negara ini termasuk destinasi pelancongan serta kraftangan.

Antaranya petai, nangka, cempedak dan ulam-ulaman kampung di samping produk hiliran seperti amplang Sabah, keropok lekor Terengganu, kek lapis Sarawak dan banyak lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, penganjuran ekspo kali ini merupakan edisi kelima dan sememangnya amat dinantikan warga Singapura selepas dua tahun tertangguh berikutan Covid-19.

Menurutnya, pengunjung yang hadir ke tapak ekspo berpeluang untuk merasai pelbagai jenis citarasa makanan, produk popular dan budaya yang terdapat di seluruh Malaysia.

“Pada edisi kali ini, kita berjaya mendapat sokongan daripada beberapa kerajaan negeri seperti Selangor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak dan Terengganu.

“Ini juga sebagai satu platform bagi usahawan tempatan memulihkan kembali perniagaan dan memastikan produk agromakanan keluaran negara kekal mendapat sambutan di pasaran global, sekaligus mempromosikan lokaliti negeri dalam sektor agropelancongan

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa membantu usahawan dalam menerokai luang eksport yang tersedia bagi menggalakkan usahawan PKS Malaysia untuk menceburi bidang pengeksportan yang memiliki potensi pasaran yang lebih luas,” katanya ketika merasmikan ekspo tersebut pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ahmad melawat reruai disertai usahawan PKS yang mempromosikan produk Malaysia.
Ahmad melawat reruai disertai usahawan PKS yang mempromosikan produk Malaysia.

Ahmad turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Anieps Enterprise Sdn Bhd bersama Rock On Consulting Pte Ltd.

Melalui kerjasama tersebut, produk sedia untuk dimakan (RTE) jenama Food Cartel akan diimport dan diedarkan Rock on Consulting Pte Ltd untuk pasaran antarabangsa dengan nilai perjanjian sebanyak RM20 juta bagi tempoh lima tahun.

Hadir sama, Penolong Ketua Pengarah National Trades Union Congress (NTUC), Zainal Sapari; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA, Rosilawati Abu Hassan.

Berdasarkan rekod sebelum ini, penganjuran tahun pertama ekspo itu pada 2016 telah mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM4.5 juta dan terus meningkat sebanyak 60 peratus pada 2019 kepada RM7.3 juta.

Ujar Ahmad, bagi edisi Malaysia Fest 2022, FAMA menetapkan sasaran jualan sebanyak RM7 juta dan 90,000 pelawat dijangka mengunjungi ekspo tersebut.

“Selain daripada Singapura, FAMA turut merancang untuk menganjur ekspo Malaysia Fest ini di lain-lain negara bagi mempergiatkan aktiviti promosi produk agromakanan negara kepada masyarakat antarabangsa dan seterusnya meningkatkan nilai eksport produk tersebut di pasaran global.

“Ini juga sebagai satu medan atau platform bagi usahawan tempatan dalam memulihkan kembali perniagaan mereka setelah menempuhi tempoh pandemik.

“Ia bagi memastikan produk agromakanan keluaran negara kekal mendapat sambutan di pasaran global dan sekaligus dapat mempromosikan lokaliti negeri dalam sektor agropelancongan,” katanya.

Berdasarkan statistik dagangan antarabangsa ke Singapura oleh MAFI, nilai eksport bahan makanan Malaysia ke republik itu pada 2021 meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada RM7.7 bilion berbanding RM6.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, nilai eksport buah-buahan pula meningkatkan daripada RM530 juta kepada RM540 juta bagi tempoh yang sama.

Ahmad (dua, kiri) melawat tapak Ekspo Malaysia Fest 2022 di Singapore Expo, Changi, Singapura.
Ahmad (dua, kiri) melawat tapak Ekspo Malaysia Fest 2022 di Singapore Expo, Changi, Singapura.