PM deklamasi puisi sampaikan mesej cintakan negara

Ismail Sabri mendeklamasikan puisi bertajuk Keluarga Malaysia pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 di ibu kota pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri mendeklamasikan puisi bertajuk Keluarga Malaysia pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 di ibu kota pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inti pati yang diketengahkan adalah sama namun pendekatannya sedikit berbeza apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat memilih untuk berpuisi bagi menyampaikan mesej kecintaannya pada negara.

Sebelum mendeklamasikan puisi berjudul ‘Keluarga Malaysia’ hasil nukilannya sendiri, Ismail Sabri memohon maaf jika terdapat masalah dalam penyampaian beliau pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

"Saya minta maaf kalau ada masalah, saya baru belajar dari cikgu,” katanya sebelum melontarkan bait-bait puisi yang menjentik kepentingan mempertahan sifat toleransi, hormat-menghormati serta cintakan negara dalam diri rakyat walaupun berbeza kepercayaan agama dan kaum.

Majlis kira-kira dua jam itu turut diserikan dengan pelancaran koleksi Lagu Puisi Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri serta persembahan pembukaan oleh Razali Mohd Yusof, Dr Jessica Ong Hai Liaw dan Dr Raja Rajeswari Seetha Raman disusuli deklamasi puisi bertajuk ‘Kita Jagai Merdeka’ oleh Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) Datuk Rahman Shaari yang diumumkan sebagai Sasterawan Negara Ke-15 pada 22 Jun lepas.

Program jelajah puisi itu anjuran bersama Penyair, Institut Kepimpinan Kamarzaman, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Hotel Royale Chulan.

Siri pertama jelajah itu bermula di Universiti Putra Malaysia pada 8 Ogos lepas diikuti Universiti Malaysia Perlis (13 Ogos) dan Universiti Malaysia Sarawak (20 Ogos) manakala penutupnya akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah pada 14 September depan iaitu dua hari menjelang tarikh sambutan Hari Malaysia 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: