Selangor julang Piala Belia 2022

Pasukan Selangor menjulang Piala Belia 2022 selepas mencatatkan kemenangan menerusi agregat 2-1.
Pasukan Selangor menjulang Piala Belia 2022 selepas mencatatkan kemenangan menerusi agregat 2-1.
A
A
A

HAJAT skuad bawah 19 tahun, Sri Pahang FC menjulang Piala Belia 2022 lebur di tangan Selangor apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam final pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, malam Jumaat.

Skuad kendalian Muhammad Firdaus Aziz menang menerusi agregat 2-1 selepas mengatasi tuan rumah, 1-0 dalam aksi final pusingan pertama sebelum ini.

Dalam separuh babak pertama, kedua-dua pasukan saling menyerang di hadapan gawang lawan namun penyudah tumpul menghalang masing-masing memecah kebuntuan jaringan.

Skuad kendalian Bahazenan Osman memiliki beberapa peluang keemasan namun dipersiakan oleh pemain.

Anak buah Muhammad Firdaus juga terpaksa berputih mata selepas beberapa peluang dimatikan pasukan tuan rumah.

Keputusan kekal tanpa sebarang jaringan hingga tamat separuh babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, pelawat membuat gantian pertama pemain dengan mengeluarkan pemain tengah, Dicky Hidayat Mesnianto dan memasukkan Muhammad Faizal Abdul Razak pada minit ke-55.

Selangor kemudiannya meledak dengan gol pertama perlawanan menerusi jaringan penyerang pasukan itu, Muhammad Amirul Haziq Kamal Ariffin yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zarif Aiman Zaiwanadi pada m-67.

Artikel Berkaitan:

Sri Pahang melakukan penggantian dengan memasukkan pemain tengah, Abdul Qayyum Yahya dan mengeluarkan Muhammad Fitri Aziq Wahid pada minit ke-69.

Sri Pahang FC terpaksa berpuas hati selaku naib juara Piala Belia 2022.
Sri Pahang FC terpaksa berpuas hati selaku naib juara Piala Belia 2022.

Tuan rumah kembali menyamakan kedudukan hasil tendangan pemain tengah Sri Pahang, Mohamad Zulfahmi Zulkifli dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat, Ahmad Azeem Izhar Ahmad Rizal pada minit ke-73.

Pasukan tuan rumah kemudiannya terus menggandakan asakan namun sekali lagi penyudah tumpul menghalang hasrat Sri Pahang menambahkan jaringan.

Keputusan kekal 1-1 hingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi.

Selaku juara, Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000 bersama piala manakala Sri Pahang FC meraih RM30,000 dan medal.