Jalan TAR bebas kenderaan setiap Ahad

Jalan TAR ditutup untuk kenderaan pada setiap Ahad bagi mewujudkan kawasan pejalan kaki di pusat bandar. Foto: Bernama.
Jalan TAR ditutup untuk kenderaan pada setiap Ahad bagi mewujudkan kawasan pejalan kaki di pusat bandar. Foto: Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan ditutup kepada kenderaan bagi mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah bandar pada setiap Ahad.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, konsep bebas kenderaan itu selari dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon.

Menurut kenyataan itu, DBKL akan menutup jalan dari persimpangan Jalan Esfahan ke Jalan Melayu bagi tujuan itu.

"Penutupan jalan ini akan dilakukan bermula 28 Ogos 2022 (Ahad) dari jam 6 pagi hingga 12 malam.

"Pengunjung yang ingin ke Jalan TAR dan sekitarnya dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak

kesesakan lalu lintas," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias semasa sesi soal jawab di Dewan Negara pada 11 Ogos lalu telah memaklumkan berkenaan cadangan itu sebagai usaha menggalakkan budaya berjalan kaki dalam kalangan warga kota.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau berkenaan usaha menaik taraf infrastruktur pejalan kaki di Kuala Lumpur dan pembudayaan amalan berjalan kaki dalam kalangan warga kota.

Artikel Berkaitan:

DBKL berkata, pelbagai pengisian program telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang penutupan jalan tersebut.

Antaranya persembahan muzik jalanan (buskers), persembahan seni kreatif, seni kraftangan dan sukan tradisional seperti dam haji.

Tambah kenyataan itu, lokasi sekitar Jalan TAR juga akan dihiasi dengan hiasan perabot jalanan dan fasiliti serta ruang untuk pengunjung bersantai, berehat dan mengambil gambar.