'Saya banyak buat silap' – Zii Jia

Zii Jia gagal mengembalikan pukulan Jun Peng pada aksi pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2022, pada Khamis. - foto EPA
Zii Jia gagal mengembalikan pukulan Jun Peng pada aksi pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2022, pada Khamis. - foto EPA
A
A
A

“SAYA banyak melakukan kesilapan.”

Itu reaksi pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berhubung kekalahan mengejut kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng pada aksi pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Gimnasium Metropolitan, Tokyo pada Khamis.

Menurutnya, dia kerap melakukan kesilapan sehingga menyebabkan Jun Peng berjaya mengawal permainan dan mencatatkan kemenangan.

Justeru Zii Jia berkata, dia seharusnya lebih banyak bersabar ketika beraksi dalam usaha mencatatkan kejayaan pada masa akan datang.

“Saya mengaku... saya banyak melakukan kesilapan. Sepatutnya, saya perlu lebih banyak bersabar dan tidak terlalu tergesa-gesa.

“Saya juga mengakui bahawa Jun Peng telah beraksi dengan baik selain mengawal gelanggang dengan sempurna.

“Malah, Jun Peng turut mempamerkan kebolehannya bermain dengan baik di jaring hingga beberapa kali berjaya memerangkap saya dan seterusnya memenangi pertemuan ini,” katanya pada Jumaat.

Khamis lalu menyaksikan perjalanan Zii Jia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 terhenti di pusingan ketiga apabila tumpas kepada Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21 dalam satu jam lima minit.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Zii Jia tidak berdepan masalah menewaskan pemain Portugal, Bernardo Atilano 21-9, 21-13 pada pusingan pertama sebelum menewaskan permain Perancis Brice Leverdez, 21-9, 21-13 di pusingan kedua.

Untuk rekod, Zii Jia sebelum itu menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 Ogos lalu bagi memberikan fokus kepada Kejohanan Badminton Dunia, kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zii Jia yang berlatih di bawah kendalian bekas pemain berpengalaman, Indra Wijaya itu, turut mengakui Jun Peng telah beraksi dengan cukup baik di sepanjang pertemuan berkenaan.

“Bagi saya, Jun Peng telah mempersembahkan permainan yang cukup menarik dan secara keseluruhannya, dia lebih banyak menguasai perlawanan.

“Oleh itu selepas ini, saya perlu berlatih lebih keras dan berusaha menstabilkan mutu permainan saya dalam usaha kembali ke landasan kemenangan,” katanya.