KTCC Utara bakal tarik pelaburan ke Terengganu

Burhanuddin Hilmi (kanan) ketika hadir ke Program Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Invest Series Terengganu yang diadakan di MIDA Sentral, Kuala Lumpur. - Foto Terengganu Inc
Burhanuddin Hilmi (kanan) ketika hadir ke Program Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Invest Series Terengganu yang diadakan di MIDA Sentral, Kuala Lumpur. - Foto Terengganu Inc
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu Inc, sebuah syarikat induk pelaburan strategik kerajaan negeri Terengganu tekad menarik para pelabur dan mengembangkan landskap ekonomi negeri menerusi peluang melabur dalam pelbagai projek seperti Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Utara.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, konsep bandar terusan seluas 80.93 hektar itu merupakan konsep pembangunan tercanggih sepanjang 1.4 kilometer terletak di pesisir pantai Kuala Terengganu.

Menurut beliau, oasis bandar tersebut menyediakan pelbagai potensi ekonomi melalui pembangunan infrastruktur seperti bangunan pejabat, kawasan perumahan, lot perkedaian dan lain-lain lagi.

“KTCC Utara dijangka mampu menampung lebih 50,000 orang di kawasan perumahan, pusat hiburan dan ibu pejabat institusi awam atau swasta.

“Projek yang dihubungkan dengan mercu tanda ikonik iaitu Jambatan Angkat KTCC tersebut mempunyai pelbagai potensi serta nilai komersial yang belum diterokai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Burhanuddin, antara kelebihan komersial projek KTCC Utara adalah lokasi strategik meliputi pasaran pengguna pantai timur, kesediaan infrastruktur serta kemudahan logistik (berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud).

Sehubungan itu katanya, dalam usaha menyokong hasrat kerajaan negeri, Terengganu Inc mengalu-alukan penyertaan pelabur menerusi komitmen penuh dalam memudahkan proses menjalankan perniagaan serta mempergiatkan promosinya penggiat industri pelaburan.

Burhanuddin menerangkan peluang pelaburan berimpak tinggi tersebut semasa Program Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Invest Series Terengganu yang diadakan di MIDA Sentral, Kuala Lumpur pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut dikongsi semasa pembentangan tersebut ialah projek pembangunan Pulau Poh, Tasik Kenyir merangkumi hotel 150 bilik dan Taman Air Kenyir berkeluasan 88,801 kaki persegi yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Prospek pelaburan turut disediakan Terengganu Inc adalah hab perindustrian berkeluasan 407.51 hektar, Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) yang dibangunkan pada model ‘plug and play’ supaya pelabur dapat menjalankan operasi dengan lebih efisyen.

“Peluang perniagaan lain juga termasuk pengembangan Pelabuhan Kemaman sebagai pintu masuk baharu ke Rantau Asia Pasifik, dengan 242.81 hektar tersedia berhampiran Teluk Kalong.

“Peringkat pertama pembesaran pelabuhan akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo di Dermaga Timur daripada 12 juta tan kepada 32 juta tan,” katanya.