RM9.5 juta peruntukan hadapi banjir

Siti Zailah (tiga dari kanan) melihat robot yang dicipta oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN
Siti Zailah (tiga dari kanan) melihat robot yang dicipta oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN
A
A
A

PASIR MAS - Kerajaan bersiap sedia menghadapi banjir di musim tengkujuh pada hujung tahun ini menerusi memperuntukan RM9.5 juta yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, peruntukan itu adalah dana yang akan digunakan untuk pengurusan mangsa-mangsa banjir di negara ini.

Katanya, pengalaman banjir tahun 2014 banyak memberi pengajaran supaya persediaan awal dilakukan bagi membantu mereka yang terjejas.

“Peruntukan RM9.5 juta itu akan akan digunakan untuk penyediaan makanan termasuk membeli bekalan bahan mentah dan juga kelengkapan seperti tilam, tuala dan tikar kepada mangsa banjir.

“Persiapan awal bagi menguruskan mangsa banjir amat penting kerana banjir berlaku secara mendadak dan sukar dijangka,” katanya ketika ditemui pada Program Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Sempena Festival Pasir Mas Jupo Mato Keluarga Malaysia di Bandar Baru Pasir Mas, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, peruntukan itu juga lebih tinggi berbanding tahun lalu susulan perubahan iklim dan bencana yang tidak menentu ketika ini.

“Keadaan monsun sekarang tak menentu dan banjir bukan semata-mata di Kelantan malah di seluruh negara terancam dengan banjir termasuk Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Negeri-negeri yang tidak berisiko banjir pun sekarang dah terdedah dengan, jadi, dana ini boleh ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan,” katanya.