Rokok seludup RM2 juta dalam lori dirampas

Yu Min (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas JKDM Sabah pada sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Yu Min (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas JKDM Sabah pada sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas rokok seludup bernilai RM2 juta dalam serbuan membabitkan sebuah lori di Jalan Lama Penampang-Papar, Lebuh Raya Pan Borneo di sini pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.40 petang itu, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 62 tahun turut ditahan bersama sebanyak 100,500 bungkus rokok yang dipercayai cuba diedar untuk pasaran tempatan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, lori tiga tan itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat dan risikan berhubung kegiatan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahawa dianggarkan sebanyak 100,500 bungkus rokok pelbagai jenama yang disyaki barang-barang tak berkastam ditemui dalam lori berkenaan dengan anggaran nilai selepas cukai RM2 juta.

"Selain itu, dua suspek ditahan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, modus operasi bagi kes ini adalah dengan menggunakan lori mengangkut barangan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan di Kota Kinabalu atau kemungkinan ke daerah-daerah lain.

"Siasatan lanjut juga masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber rokok seludup berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

.