'Penjajahan baharu' ancam negara tercinta

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

SEDARKAH kita, enam hari lagi adalah tanggal 31 Ogos dan itu bermakna Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-65.

Setelah dua tahun melalui fasa pandemik, tahun ini menjadi permulaan untuk sejarah negara kembali diraikan dengan lebih gah dan meriah. Persiapan giat dilaksanakan.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ akan diadakan di Dataran Merdeka kali ini.

Namun, entah di mana silapnya, Ogos tahun ini terasa begitu hambar. Suasananya tidak seperti bulan kemerdekaan sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19.

Bulan merdeka kita tahun ini nampaknya sudah ‘dicaras’ dengan peristiwa lebih besar apabila buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang bekas Perdana Menteri dihukum penjara.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak setelah beliau didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Maka, hukuman penjara ke atas Najib sudah pun bermula sejak tiga hari lalu.

Di sebalik sejarah yang tercatat itu, ada segelintir yang menganggap ia sebagai ‘hadiah’ sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini kerana akhirnya telah membuktikan bahawa seorang figura yang sangat berpengaruh tidak kebal dengan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Ada kelompok yang ‘meraikan’ dan menganggap ia sebagai satu kemenangan yang amat bermakna.

Ada juga kelompok yang sedih dan berduka lara kerana menganggap keputusan tersebut sebagai satu penganiayaan, malah ada yang tidak terkecuali cuba mempertikaikan keputusan mahkamah yang telah dibuat.

Ketika kedua-dua kelompok berkenaan masih aktif berhujah dan menzahirkan reaksi mereka, penulis lebih cenderung meneliti pengajaran tersirat tentang apa yang sedang dihadapi oleh Malaysia.

'Dijajah' semula

Agak menyedihkan apabila tahun ke-65 Malaysia mencapai kemerdekaan, kita seperti ‘dijajah’ semula.

Undang-undang telah membuktikan jenayah rasuah dan salah guna kuasa kasta elit itu wujud. Mereka adalah antara golongan yang diharapkan oleh rakyat untuk terus menyuburkan keharmonian negara dan memastikan Malaysia terus merdeka dari pelbagai sudut.

Malangnya, dalam tidak sedar atau sebenarnya sedar tetapi tidak ambil berat, jenayah kolar putih bagaikan menjadi jajahan baharu yang mengancam kestabilan negara tercinta.

Beberapa kes masih dalam proses perbicaraan di mahkamah. Begitu juga kontroversi-kontroversi melibatkan ‘malapetaka’ kewangan negara yang masih dibahaskan dan dibongkar. Nilainya bukan sedikit, berjuta-juta malah berbilion ringgit. Semua itu bukan lagi rahsia. Rakyat juga sudah mula cakna dan teruja untuk mengetahui kebenarannya.

Namun, dari satu sudut lain, penulis bimbang betapa ‘seni politik berat’ itu bakal mempengaruhi emosi rakyat dengan tidak terkawal. Lihat sahaja di pelbagai platform media sosial.

Tulisan, tutur kata dan bahasa yang digunakan bagaikan ‘tiada sempadan’. Adab dan kesopanan sudah tidak dijaga. Hilang entah ke mana.

Keluhan, pendirian dan pandangan peribadi masing-masing sudah bertukar kepada kata-kata hinaan, makian dan carutan.

Sepatutnya setelah 65 tahun negara kita merdeka dan bebas daripada penjajahan, rakyat Malaysia lebih matang dalam berfikir dan berkata-kata.

Janganlah menjadikan ‘dosa’ orang lain sebagai ‘pembunuh’ nilai-nilai murni yang kita semua perlu jaga dan hormati.

Semoga kita rakyat Malaysia akan terus kekal aman damai, harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

*Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian