Anak Rimau The Movie barakan semangat nasionalisme

Tengku Fahd (belakang, lima dari kiri) bersama Tengku Muhammad Iskandar (belakang, tiga dari kiri) ketika menghadiri Majlis Tayangan Perdana Filem Anak Rimau di Dadi Cinema Pavillion Mall.
Tengku Fahd (belakang, lima dari kiri) bersama Tengku Muhammad Iskandar (belakang, tiga dari kiri) ketika menghadiri Majlis Tayangan Perdana Filem Anak Rimau di Dadi Cinema Pavillion Mall.
A
A
A

ANAK Rimau The Movie, sebuah filem yang mengetengahkan elemen perpaduan dan nasionalisme pelbagai kaum mampu memupuk semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Bukan itu sahaja, baginya filem berlatarkan sukan bola sepak lakonan pelbagai bangsa itu membawa mesej supaya setiap individu perlu terus berjuang tanpa mengenal erti putus asa sekiranya mahu mengecap kejayaan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan pelakon dan kru Anak Rimau atas usaha mereka yang luar biasa dalam mempamerkan satu daripada faktor yang menyatukan kita dan telah menaikkan semangat kita di negara ini iaitu bola sepak.

"Misi kami di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah untuk membentuk Malaysia yang lebih makmur dan bersatu melalui pembangunan belia dan budaya sukan, dan kisah Anak Rimau The Movie adalah contoh sempurna tentang apa kami sasarkan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas tayangan eksklusif Anak Rimau The Movie.

Filem berkenaan dihasilkan melalui usaha sama Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan KBS.

Filem terbitan Keeklr Films Sdn Bhd menampilkan barisan aktor terkenal seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie, dalam filem yang mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Turut hadir pada tayangan filem berkenaan ialah Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah,Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berkata, penyertaan pemain muda AMD dalam pementasan filem mampu menarik minat lebih ramai anak muda untuk menyertai sukan bola sepak.

Artikel Berkaitan:

"Banyak kebaikannya untuk anak-anak muda kita contoh yang terbaik kita dapat tengok dari segi filem ini mungkin lagi ramai anak-anak muda dapat menceburi liga bola ini.

"Apa yang kita dapat lihat dalam bola sepak satu daripadanya adalah masa depan mereka jadi saya rasa kita kena ikutlah apa (pengajaran) dalam filem ini untuk anak-anak muda lebih bersemangat," katanya. - Bernama