KLFA buat laporan polis insiden kekecohan

Insiden kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang tular.
Insiden kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang tular.
A
A
A

SATU laporan polis dibuat Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) berhubung insiden kekecohan di pekarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, selepas perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN pada Rabu.

Presidennya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya sedia maklum berhubung insiden itu yang didakwa membabitkan penyokong Kuala Lumpur (KL) City FC dan PSM Makassar.

Mengakui terkilan dengan insiden itu, Khalid menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan lanjut.

"Saya amat kecewa dan marah dengan insiden yang berlaku semalam...saya sifatkan dilakukan oleh golongan pengacau. Saya juga ingin menafikan ada pihak KLFA mahupun pasukan KL yang terlibat.

"Ketika pelbagai kejayaan dikecapi pasukan KL, perkara ini berlaku dan bagi saya ia agak malang buat kami...kita tak akan sesekali berkompromi dengan kejadian tersebut," katanya pada sidang media pada Khamis.

Pada masa sama Khalid mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mencalarkan imej serta nama KLFA dan pasukan KL, dengan tercetusnya insiden tersebut.

"Kejadian itu dilakukan bertujuan memburukkan nama persatuan selain dengki dengan kejayaan dicapai oleh pasukan KL," katanya.

Sebelum ini beberapa video tular di media sosial yang memaparkan insiden kekecohan dan pergaduhan berlaku di pekarangan stadium pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam video itu, turut kelihatan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cuba meleraikan pergaduhan tersebut.