Lorong Ampang Mampan tarikan baharu santai hujung minggu

Kempen Jalur Gemilang MPAJ 2022 diadakan di Lorong Ampang Mampan pada Sabtu lalu.
Kempen Jalur Gemilang MPAJ 2022 diadakan di Lorong Ampang Mampan pada Sabtu lalu.
A
A
A

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membelanjakan RM500,000 bagi mengindahkan kawasan belakang rumah kedai di Ampang Point di sini bagi projek Lorong Ampang Mampan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, projek sepanjang 300 meter bermula dari lorong belakang Restoran Pelita hingga premis Telekung Siti Khadijah itu dimulakan sejak 8 September 2020 dan siap sepenuhnya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya, peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digunakan sebaiknya menjadikan lokasi itu sebagai salah satu tarikan baharu di Ampang Jaya.

"Sebagai usaha mempromosikan Lorong Ampang Mampan ini, Karnival Jualan Ampang Mampan diadakan pada setiap Jumaat hingga Ahad bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam.

"Antara yang terdapat di karnival ini adalah jualan seperti kasut, tilam, pakaian, cenderahati, makanan dan juga minuman," katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Mohd Fauzi (dua dari kanan) meninjau jualan yang terdapat di Lorong Ampang Mampan.
Mohd Fauzi (dua dari kanan) meninjau jualan yang terdapat di Lorong Ampang Mampan.

Beliau berkata, karnival telah bermula sejak 29 Julai lalu dalam usaha menghidupkan dan menceriakan lokasi tersebut sebagai salah satu tarikan pelancong.

"Antara tarikan lain di kawasan berhampiran adalah Laman Santai, lokasi 'foodtruck' yang beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu lalu, MPAJ telah melancarkan Kempen Jalur Gemilang 2022 dirasmikan oleh Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim di lokasi berkenaan.

Kempen bagi menggalakkan warga Ampang Jaya memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap bangunan, premis dan kediaman bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara bersempena dengan Bulan Kemerdekaan ke-65.

Majlis turut dimeriahkan dengan Pertandingan Busking bertemakan lagu-lagu patriotik serta khidmat gunting rambut anjuran Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 6 MPAJ yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.