Maritim tahan dua bot tempatan beroperasi tanpa lesen

Antara individu yang ditahan menerusi pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan di kawasan perairan berhampiran Tanjung Karang di sini pada Rabu.
Antara individu yang ditahan menerusi pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan di kawasan perairan berhampiran Tanjung Karang di sini pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua buah bot di kawasan perairan berhampiran Tanjung Karang di sini pada Rabu.

Kedua bot terdiri daripada bot pemancing dan bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan Kapal Maritim Bagan Datuk semasa rondaan Op Ehsan, Op Benteng dan Op Belangkas dijalankan sekitar perairan negeri ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Selangor, V Siva Kumar berkata, kedua bot berkenaan ditahan setelah pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat beberapa kesalahan dilakukan.

Menurutnya, penahanan pertama dibuat ke atas bot pemancing sekitar jam 2.15 petang di kedudukan 34.2 batu nautika barat Tanjung Karang.

"Bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong berumur 44 tahun bersama 10 orang pemancing berumur 40 hingga 76 tahun yang kesemuanya adalah warga tempatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut tidak mempunyai lesen pengoperasian yang sah serta tidak dilengkapi dengan peralatan komunikasi dan alat keselamatan seperti pemadam api," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, pada hari yang sama, penahanan kedua dibuat ke atas sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada kedudukan 34 batu nautika barat Tanjung Karang sekitar jam 2.50 petang.

"Hasil pemeriksaan awal, bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong serta dua kru dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan umur 20 hingga 39 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan kerana bot itu didaftarkan di Hutan Melintang, Perak.

"Selain itu, tekong dan kesemua kru yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, perjalanan yang sah," katanya.

Ujar Siva Kumar, kesemua individu melibatkan kedua buah bt ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya.

"Kes melibatkan bot pemancing dijalankan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"Bagi kes melibatkan bot nelayan, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah," katanya.