Tular tukang masak ditusuk pisau, hanya lakonan simulasi

Sebahagian aksi dan lakonan ketika Latihan Simulasi Kebakaran peringkat Hospital Taiping 2022. - Foto Hospital Taiping
Sebahagian aksi dan lakonan ketika Latihan Simulasi Kebakaran peringkat Hospital Taiping 2022. - Foto Hospital Taiping
A
A
A

TAIPING - Gambar dan video tular memaparkan seorang lelaki dengan kesan darah dan ditusuk pisau merupakan sebahagian lakonan daripada latihan simulasi yang dijalankan di Hospital Taiping di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid mengesahkan, ia bukanlah kejadian jenayah sebenar sepertimana ditularkan di media sosial.

"Kejadian hanya simulasi latihan kebakaran yang dibuat oleh pihak hospital semalam (Rabu) dan hari ini (Khamis)," katanya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam perkongsian tular itu menyatakan berlaku pergaduhan antara seorang tukang masak di Hospital Taiping bersama kakitangannya menyebabkan ada antara mereka ditusuk pisau di bahagian dada dan disimbah dengan minyak panas.

Video berdurasi 33 saat yang tular pula memperlihatkan mangsa dibawa menaiki ambulans oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencetuskan rasa gempar orang awam yang percaya kejadian itu benar-benar berlaku.

Sementara itu, pengurusan Hospital Taiping dalam satu kenyataan berharap orang ramai dapat menyemak fakta yang tepat bagi mengelak berlakunya penyebaran maklumat tidak sahih.

Menurut kenyataan itu, gambar-gambar yang tular adalah situasi semasa yang berlaku ketika Latihan Simulasi Kebakaran peringkat Hospital Taiping 2022 yang diadakan di Jabatan Dietetik dan Sajian.

Antara aksi anggota bomba menyelamatkan mangsa dalam Latihan Simulasi Kebakaran peringkat Hospital Taiping 2022.
Antara aksi anggota bomba menyelamatkan mangsa dalam Latihan Simulasi Kebakaran peringkat Hospital Taiping 2022.

Artikel Berkaitan:

"Latihan itu merupakan aktiviti tahunan anjuran Unit Penyelia Hospital serta Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dengan kerjasama Edgenta Mediserve.

"Seramai 54 kakitangan terlibat dalam aktiviti itu yang dijalankan sebagai salah satu langkah mempersiapkan kakitangan KKM mengenai prosedur pengurusan bencana seperti kebakaran," kata kenyataan itu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Mohd Mustafa Kamal Ismail pula berkata, ketika letupan, berlaku kebiasaan, senjata tajam seperti pisau dan peralatan berbahaya mengenai mangsa.

Jelas beliau, dari segi penilaian, latihan simulasi yang dijalankan mencapai objektif, malah seperti benar-benar berlaku.

"Aksi dan lakonan yang dibuat oleh kakitangan itu adalah gambaran sebenar sekiranya berlaku kejadian.

"Bagi saya, mereka yang terlibat ini semuanya adalah pelakon lima bintang, mekap dan solekan itu memang nampak real," katanya.