Rangers tamatkan penantian 12 tahun ke UCL

Colak meraikan jaringannya yang membantu pasukannya menumpaskan PSV di Stadion Philips awal pagi Khamis.
Colak meraikan jaringannya yang membantu pasukannya menumpaskan PSV di Stadion Philips awal pagi Khamis.
A
A
A

KELAB liga Scotland, Rangers menamatkan penantian 12 tahun beraksi di pentas liga juara-juara Eropah (UCL) selepas menumpaskan PSV Eindhoven, 1-0 awal pagi Khamis.

Pada aksi yang berlangsung di Stadion Philips, penyerang Rangers, Antonio Colak muncul wira buat Rangers apabila menjaringkan gol kemenangan, sekali gus menyaksikan pasukannya menang secara agregat 3-2 selepas seri 2-2 pada aksi timbal balik pertama.

“Agak sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia adalah perjalanan menakjubkan buat kami tahun ini dan saya bangga dengan semua rakan.

“Saya menangis di tengah padang, ia detik sangat menggembirakan. Ketika kanak-kanak, saya mahu bermain di peringkat ini dan apabila berjaya layak, memang sungguh menakjubkan,” ujarnya.

Rangers sebelum ini selangkah untuk membuat penampilan semula di pentas tertinggi Eropah apabila layak ke final Liga Europa musim lalu.

Bagaimanapun pasukan kendalian Giovanni van Bronckhorst itu tewas di tangan Eintracht Frankfurt dalam penentuan sepakan penalti.

Selain Rangers, turut mengesahkan slot ke UCL musim ini ialah wakil Croatia, Dinamo Zagreb yang menewaskan Bodo/Glimt 4-1 untuk mencatat kemenangan agregat 4-2.

Wakil Denmark FC Copenhagen juga layak selepas seri 0-0 di Turki menentang Trabzonspor, untuk memastikan kemenangan agregat 2-1.

Artikel Berkaitan: