Pemuda Pas gesa kerajaan tarik balik penganjuran konsert

Ahmad Fadhli Shaari, tangkap layar kenyataan Ahmad FaAdhli yang dimuat naik di laman Facebook Pemuda Pas.
Ahmad Fadhli Shaari, tangkap layar kenyataan Ahmad FaAdhli yang dimuat naik di laman Facebook Pemuda Pas.
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda Pas menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk membatalkan serta menarik semula kebenaran penganjuran semua konsert melibatkan artis antarabangsa di negara ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana konsert tersebut tidak bersesuaian dengan norma dan nilai kehidupan umat Islam di Malaysia.

“Menjelang mesyuarat kabinet terdekat ini, sudah pasti Pas melalui anggota kabinet akan memainkan peranan untuk memastikan konsert daripada artis antarabangsa yang dijadualkan dapat dibatalkan.

“Kita berharap agar kerajaan melalui menteri-menteri berkaitan membuat pertimbangan bagi membatalkan dan menarik semula kebenaran untuk konsert ini dari berlangsung.

“Masa dan nilai yang dibawa tidak bersesuaian serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan,” ujar beliau menerusi laman Facebook pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika perkara tersebut tidak diendahkan.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tenaga perseorangan yang prihatin dengan isu ini, kita seru untuk bangkit bersama. Jangan dibiarkan budaya hedonisme menular dan menjalar ke dalam masyarakat serta mohon gerakkan usaha bantahan ini agar ia sampai ke Seri Perdana di Putrajaya.

“Jika ada saudara-saudara seagama yang berperanan sebagai penghalang terhadap usaha ini baik dengan tindakan mahupun dengan kata-kata, doakanlah mereka mendapat hidayah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: