Kehidupan Najib di penjara akan jadi sukar: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehidupan penjara akan menjadi sesuatu yang sukar untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang biasa dengan kehidupan mewah.

Beliau berkata, meskipun difahamkan Najib akan menerima layanan lebih baik termasuk mendapat beberapa kemudahan, ia tentunya amat sukar berbanding dengan gaya hidup 'hotel tujuh bintang'.

"Daripada apa yang saya faham daripada rakan sekerja lama saya, pegawai penjara, Najib akan diberi layanan yang lebih baik, dia akan diberikan beberapa kemudahan tidak seperti ketika saya di penjara dulu.

"Jika dibandingkan dengan gaya hidupnya di hotel tujuh bintang, sekarang dia perlu mengalami sesuatu yang amat sukar," katanya memetik temubual menerusi 'Squawk Box Asia' CNBC disiarkan pada Rabu.

Anwar berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib dalam kes SRC International adalah satu permulaan yang baik bagi membentuk pembaharuan Malaysia sebagai negara demokrasi.

“Saya rasa ini permulaan yang baik, ia melakukan pembaharuan dan mematangkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang bertenaga dengan institusi yang kukuh.

"Pemimpin politik, elit politik yang terus melakukan kesalahan tanpa impunitas, mereka fikir mereka tidak dapat dikalahkan dengan undang-undang, tetapi sekarang, mesejnya sangat jelas," katanya.

Justeru katanya, kredit mesti diberikan kepada rakyat yang telah memutuskan perubahan menerusi pilihan raya umum (PRU).

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu teruskan. Jika mereka berazam untuk memastikan negara ini selamat daripada pemimpin yang korup, maka mereka perlu mengambil pendirian memilih mereka yang tidak korup," katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berjumlah RM42 juta dana SRC International.