'Usaha bela ayahanda diteruskan' - Mohd Nizar

Kenyataan Mohd Nizar di laman Facebooknya pada Rabu.
Kenyataan Mohd Nizar di laman Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Datuk Mohd Nizar Najib menegaskan usaha untuk membela dan membantu ayahnya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diteruskan selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada Selasa.

Mohd Nizar yang juga anak sulung bekas Perdana Menteri itu menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan itu selepas ayahandanya berusaha sedaya upaya untuk membela diri di mahkamah.

"Saya dan ahli keluarga amat dukacita dengan keputusan mahkamah semalam. Ayahanda Najib Razak telah cuba sedaya upaya untuk membela diri di mahkamah, namun keputusan jelas dan langsung tidak memihak kepada beliau. Mereka yang mengikuti dengan dekat kes ini boleh membuat kesimpulan masing-masing.

"Dengan kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang hadir di mahkamah dan yang berdoa serta bersolat hajat dari jauh. Ramai yang menghantar mesej dorongan dan sokongan melalui saluran WhatsApp dan media sosial.

"Hanya ALLAH SWT yang mampu membalas jasa baik kalian semua. Saya dan keluarga sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk menerima realiti peristiwa sedih ini.

"Berat ujian dan dugaannya kali ini buat saya dan keluarga. Namun, kita perlu yakin akan ketentuan dan perancangan ALLAH SWT yang Maha Esa, Maha Berkuasa. Usaha untuk membela dan membantu ayahanda tetap akan diteruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, beliau mengimbau jatuh bangun Najib terutama selepas dianggap tidak relevan ketika BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Saya dan sahabat-sahabat boleh mengambil iktibar daripada kebangkitan ayahanda sejurus selepas PRU14. Walaupun ketika itu ada yang menganggap ayahanda sudah tidak relevan dan ditinggalkan ramai orang, beliau masih mampu bangkit semula dengan fenomena Bossku serta pergerakan media sosial yang padu.

Artikel Berkaitan:

"Dengan semangat juang yang tinggi ini beliau dapat membantu jentera BN serta UMNO menang dan menawan semula kerusi mahupun negeri di siri-siri Pilihan Raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Semasa mentadbir, beliau dikenali sebagai seorang yang banyak membantu masyarakat umum di semua lapisan, tanpa mengira warna kulit dan kaum. Begitu banyak program dan inisiatif dilaksanakan untuk rakyat jelata dan B40," katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan Najib sentiasa selamat dan di bawah perlindungan ALLAH SWT.