[VIDEO] Bakal hilang status MP, Najib perlu mohon pengampunan diraja

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari bagi memastikan tidak kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, jika tiada pengampunan diraja diterima dalam tempoh berkenaan, ia akan menyebabkan Najib hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari.

Menurutnya ia selaras dengan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ribu ringgit serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.

"Dalam tempoh 14 hari ini, Najib mesti mohon pengampunan diraja. Beliau tidak akan hilang kelayakan sehingga permohonan tersebut dilupuskan.

"Ini bermakna selepas 14 hari sekiranya tiada sebarang permohonan diterima, beliau akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib, 69, gagal membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember

Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata, Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.

"Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam tempoh 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat," jelasnya.