PCG bakal pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara

Muhammad Sanusi (kiri) dan Mohd Yusri pada sidang media sempena Majlis Perasmian Projek Loji Melamina PCG di Dewan Agrenas Petronas Fertiliser Kedah Sdn Bhd pada Rabu. - Foto Bernama
Muhammad Sanusi (kiri) dan Mohd Yusri pada sidang media sempena Majlis Perasmian Projek Loji Melamina PCG di Dewan Agrenas Petronas Fertiliser Kedah Sdn Bhd pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah melancarkan projek loji melamina di kompleks Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd (PCFK) semalam. Loji ini dijangka memulakan operasi pada tahun 2024 dengan kapasiti sebanyak 60,000 tan setahun, menjadikan PCG sebagai pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.

Pelancaran projek ini dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Turut serta hadir ialah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof dan Penolong Pegawai Daerah Kanan, Bahagian Pengurusan Tanah, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin.

Berucap di majlis pelancaran,Muhammad Sanusi berkata, "Saya berasa amat gembira kerana hari ini kita dapat menyaksikan satu lagi projek Petronas, khususnya PCG di negeri Kedah.

"Anak syarikat milik penuh PCG iaitu PCFK yang beroperasi sejak tahun 1999 telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negeri ini.

"Adalah menjadi harapan saya loji melamina ini akan mengukuhkan lagi kawasan ini sebagai zon pengeluar bahan kimia bertaraf antarabangsa di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Mohd Yusri seterusnya berkata, "Ini adalah projek penting bagi PCG kerana ia mengukuhkan lagi strategi mempelbagaikan portfolio produk kami dengan menambah nilai kepada molekul produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin, dan lain-lain.

"Lebih penting, sebagai pengeluar tunggal melamina di rantau ini, kami boleh memenuhi permintaan pasaran tempatan dan juga pasaran serantau, yang kini merupakan pengimport bersih melamina. Memandangkan permintaan yang kukuh dalam pasaran baru Asia Tenggara, kami yakin pelaburan ini akan terus menyumbang kepada pembangunan PCG.”

Menurutnya, pembinaan loji melamina itu akan menggunakan teknologi dari Switzerland yang terbukti di dalam industri, akan membolehkan loji ini untuk beroperasi dengan kecekapan tinggi dari segi penggunaan tenaga.

Artikel Berkaitan:

"Loji ini yang menggunakan urea yang dihasilkan oleh PCFK sebagai bahan mentah, akan membolehkan PCFK untuk menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga yang lebih kompetitif kerana integrasi kompleks PCFK yang sedia ada membolehkan pelaburan yang minima dari segi utiliti dan kos lain.

"Projek ini menunjukkan komitmen yang tinggi dari PCG untuk memenuhi permintaan terhadap produk berkualiti tinggi yang kian meningkat, terutamanya dalam industri pembangunan dan perumahan selari dengan peningkatan populasi," katanya.

Beliau berkata, melamina mempunyai pelbagai ciri berguna seperti kalis api, penyerap bunyi, dan juga sifat rintangan terhadap hakisan, kesan kotoran dan kelembapan. Ini membolehkan ia digunakan untuk pelbagai aplikasi seperti aplikasi lamina, pelekat kayu, sebatian acuan, salutan permukaan, kertas dan industri tekstil. - Bernama