Kes SRC titik penting perubahan politik negara

Muhamad Nadzri ketika dalam program Wacana Sinar Edisi ke-362 bertajuk Najib ke Penjara: Apa Nasib BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Muhamad Nadzri ketika dalam program Wacana Sinar Edisi ke-362 bertajuk Najib ke Penjara: Apa Nasib BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat merupakan satu titik penting dalam mengubah politik negara yang lebih beramanah, berintegriti dan demokratik.

Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, institusi politik negara yang baik amat penting dalam melahirkan sistem semak dan imbang yang telus seterusnya memastikan pembangunan negara secara konsisten.

“Jadi transformasi atau reformasi institusi politik negara itu amat penting. Kalau kita lihat jika Pakatan Harapan (PH) tidak memerintah tempoh hari, mungkin kes (Najib) ini tidak dimulakan.

“Mungkin pemimpin-pemimpin yang kontroversi ini akan terlepas begitu sahaja. Di situ, saya melihat kes ini sebagai satu titik penting diharapkan untuk mengubah politik negara kepada lebih beramanah, berintegriti dan demokratik.

“Kerana kita bukan bercerita tentang seseorang, kita bercerita tentang nasib lebih 30 juta rakyat Malaysia dan pelbagai isu-isu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar Edisi ke-362 bertajuk Najib ke Penjara: Apa Nasib BN? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis adalah Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, manakala Nani Roslan sebagai moderator.

Ulas beliau, kes-kes melibatkan penyelewengan dana daripada ahli-ahli politik dilihat memberi kesan yang besar kepada negara sama ada dari sudut pembangunan, keselamatan dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya kita terkesan dengan politik personaliti, politik penaungan, amalan politik semasa yang terlalu ilitis dan juga perbezaan antara politik dan ekonomi yang kabur.

“Jadi bila ada reformasi atau transformasi institusi politik, kita boleh melihat mula ada semak dan imbang, namun perjalanan ke arah pencerahan dan demokrasi itu, ia tidak mudah kerana ada turun dan naik,” ujarnya.