Tempoh khidmat PM Thailand capai had maksimum

Keputusan tinjauan terbaharu menunjukkan populariti Prayut semakin merosot. - Foto Agensi
Keputusan tinjauan terbaharu menunjukkan populariti Prayut semakin merosot. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha kini berdepan desakan termasuk protes awam supaya berundur selepas beliau didakwa sudah memegang jawatan itu untuk tempoh maksimum selama lapan tahun pada Selasa.

Nasib bekas jeneral tentera itu bakal diputuskan Mahkamah Perlembagaan yang akan menentukan sama ada Prayut masih boleh terus berkhidmat selepas tarikh 23 Ogos atau digantung tugas sehingga keputusan dibuat hakim.

Difahamkan, Perlembagaan negara itu yang disokong tentera dan berkuat kuasa pada 2017 menetapkan had tempoh untuk memegang jawatan Perdana Menteri adalah selama lapan tahun.

Kedudukan Prayut kembali goyah selepas beliau terselamat undi tidak percaya kali keempat pada bulan lalu.

Sehingga kini, beliau tidak memberi sebarang isyarat untuk akur dengan desakan ramai.

“Walau apa jua keputusan, Perdana Menteri telah menekankan bahawa beliau tidak akan melangkaui undang-undang. Beliau akan menghormati sepenuhnya keputusan tersebut,” kata jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri.

Jika keputusan hakim menyebelahi Prayut, beliau mungkin kekal memegang jawatan Perdana Menteri sehingga 2025 atau 2027 andai parti pimpinannya, Palang Pracharat menang lagi pada pilihan raya yang dijadualkan pada tahun depan.

Keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan populariti Prayut semakin merosot dan lebih 93 peratus responden berpendapat beliau tidak seharusnya kekal memegang kuasa melebihi tempoh yang ditetapkan. - Agensi

Artikel Berkaitan:


Info

>Prayut, 68, dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan junta tentera pada 24 Ogos 2014 selepas insiden rampasan kuasa pada Mei tahun sama.

>Beliau kemudiannya dilantik semula untuk memimpin pentadbiran awam selepas pakatan disokong tentera menang Pilihan Raya Umum pada 2019.