LBS catat pendapatan kukuh, untung RM410 juta

A
A
A


No Image Caption



KUALA LUMPUR - Syarikat pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keuntungan sebanyak RM410.4 juta pada suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Bukan itu sahaja, LBS turut mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM33.2 juta iaitu peningkatan dari tahun ke tahun masing-masing sebanyak 54 peratus dan 71 peratus.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) meningkat sebanyak 116 peratus, dari tahun ke tahun, kepada RM35.1 juta.

“Syarikat melaporkan keputusan kewangan yang kukuh di sebalik cabaran industri pembinaan seperti kekurangan buruh dan tekanan inflasi yang meningkat.

“Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, hasil dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 23 peratus dan 58 peratus kepada RM819.4 juta dan RM65.3 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021,”katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, peningkatan membanggakan itu adalah perkembangan positif dari projek di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Taman Perindustrian Alam Awana.

“Projek pembangunan di Lembah Klang menyumbang lebih 84 peratus daripada hasil enam bulan berakhir 30 Jun 2022. Nilai dan kesamaan tunai LBS, pada akhir Jun 2022 adalah sebanyak RM265.7 juta iaitu meningkat 62 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:


“Pada Ogos 2022, LBS telah mengumumkan rekod jualan hartanah sebanyak RM1.31 bilion dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM313 juta. Sehingga 31 Julai 2022, syarikat mempunyai bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,674 ekar,”katanya.

Hock San berkata, LBS telah menghasilkan pendapatan yang luar biasa pada suku tahun ini berikutan usaha berterusan syarikat untuk melaksanakan strategi pemasaran yang inovatif.

“Dengan dugaan kekurangan tenaga kerja, kenaikan kadar faedah serta kenaikan harga bahan mentah, saya gembira kerana kami berjaya mengekalkan pendapatan walaupun sedar bahawa semua ini memerlukan masa untuk pulih dan berharap momentum ini dapat dikekalkan menuju separuh kedua 2022.

“Kejayaan memperolehi RM1.31 bilion jualan bersamaan dengan 82 peratus daripada sasaran jualan tahun 2022 memberi kegembiraan kerana kadar pengambilan kukuh bagi projek-projek kami pada suku kedua terutamanya pembangunan LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth.

“Ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan tepat dengan pembinaan di kawasan strategik sekaligus berupaya menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan pembeli. Kami akan terus kekal fokus pada rancangan pertumbuhan syarikat dan akan membawa LBS ke tahap yang lebih tinggi.”katanya.