Anak aku bekas banduan: Erma Fatima

ERMA FATIMA
ERMA FATIMA
A
A
A

BINTANG serba boleh, Erma Fatima mendedahkan anak ketiganya, Ahmad Aifin, 22, dipenjarakan sejak Mei 2016 dan baharu sahaja dibebaskan.

Jelasnya, dia memelihara Aifin sejak hari pertama anaknya itu lahir, namun atas percaturan orang tertentu Aifin kembali ke pangkuan ayah kandungnya.

“Ini anak aku yang ketiga. Dari umur dia satu hari aku pelihara dia. Aku berikan yang terbaik, semampu aku. Sekolah, agama, kasih sayang, meskipun banyak kekurangan aku.

“Berbagai dugaan terpasak aku lalui untuk besarkan dia. Dan satu hari atas percaturan orang tertentu, anak aku kembali ke pangkuan ayah kandungnya.

“Hanya ALLAH SWT yang tahu betapa hancurnya hati aku ketika itu. Dan Mei 2016 aku mendapat berita dia ditangkap polis dan dipenjarakan.

“Sekali pun aku tak pernah jenguk dia di penjara kerana aku kecewa, sedih, hancur hati ini. Hanya keluarga lain yang pergi menziarahi dia.

“Semua di dalam keluarga aku menyangka aku sudah membuang dia dariPADA hidup aku,” tulisnya di Instagram membuka cerita.

Selepas hampir tiga tahun dipenjarakan, Aifin akhirnya dibebaskan dari penjara hari ini.

Artikel Berkaitan:

ERMA FATIMA
ERMA FATIMA

Biarpun bergelar banduan, namun sebagai ibu dia tetap menerima kembali Aifin, walaupun dia tidak melahirkan anaknya itu.

“Anak-anak aku yang lain jemput dia di penjara dan bawa pulang ke rumah. Semua takut aku tak terima dia.

“Apa pun aku masih ibu dia walaupun aku tidak melahirkannya. Walaupun dia tinggalkan aku, hancurkan hati aku tapi aku tetap ibu dia.

“Ya, anak aku kini bekas seorang banduan. Atas izinnya, aku ingin berkongsi pengalaman ini dengan semua.

“Dia tanya aku, ‘mama tak malu ke beritahu orang anak mama bekas banduan?’. Aku cakap aku tak pernah malu memiliki anak yang dikurniakan ALLAH SWT seperti apa pun dia kerana itulah dugaan paling besar dalam hidup aku yang terpaksa aku tempuh,” jelasnya.

Tambah Erma, perkongsian yang dibuat ini bukan untuk menagih simpati, tetapi hanyalah perkongsian tentang realiti hidup.

“Aku berkongsi semua ini bukan kerana aku mahukan simpati...

“Aku mahu berkongsi dengan semua anak-anak muda di luar sana tentang realiti hidup. Aku mahu keluarga yang memiliki anak-anak seperti ini juga mendapat sedikit kekuatan dari cerita aku. Itu sahaja,” katanya yang akan menceritakan kenapa dan mengapa Aifin dipenjarakan.

Selain Aifin, Erma memiliki empat lagi anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 26; Ahmad Arir, 24; Citra, 17 dan Nurain, 13.