Dua lelaki tak mengaku salah beri pinjam wang tanpa lesen

Kian Chon (kiri) dan Chan Wah (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tidak sah.
Kian Chon (kiri) dan Chan Wah (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tidak sah.
A
A
A

KUANTAN - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tidak sah pada bulan Julai dan Ogos tahun ini.

Tertuduh, Choi Kian Chon, 28, dan Choo Chan Wah, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kian Chon didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu didapati terlibat dan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada tiga individu secara berasingan masing-masing berusia 36, 62, dan 37 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi berasingan di Kampung Padang, Kempadang Utama 1 Astaka Village dan Kampung Padang Jaya di sini, antara jam 8 pagi hingga 6 petang pada Julai lalu.

Sementara itu, Chan Wah pula didakwa terlibat dan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada seorang individu berusia 41 tahun di Lorong Pandan Damai di sini antara jam 8 pagi hingga 6 petang, pada bulan ini.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Kasim yang menawarkan jumlah ikat jamin sebanyak RM80,000 terhadap Kian Chon manakala Chan Wah pula sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Fathin turut meminta agar mahkamah mengenakan syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk pengadu dan mangsa dalam kes ini.

Bagaimana, Kian Chon yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

Tertuduh Chan Wah yang diwakili peguam, Mohd Rizal Abdullah pula memohon pengurangan ikat jamin atas alasan kesalahan pertama dilakukan oleh anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan Kian Chon diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan manakala Chan Wah pula sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 23 September depan.