Angka kematian akibat hujan lebat di Sudan meningkat

Kira-kira 136,000 penduduk terjejas akibat banjir dan hujan lebat yang melanda Sudan sejak Jun. - Foto AFP
Kira-kira 136,000 penduduk terjejas akibat banjir dan hujan lebat yang melanda Sudan sejak Jun. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - Angka kematian akibat hujan lebat dan banjir di Sudan meningkat kepada 83 orang setakat ini, menurut Majlis Kebangsaan Pertahanan Awam negara itu pada Isnin.

Sementara itu, lebih 18,000 kediaman dilaporkan musnah manakala 25,000 lagi rosak teruk, lapor Xinhua.

Kementerian Pengairan dan Sumber Air mengeluarkan amaran paras air sungai Blue Nile dan White Nile dijangka meningkat semula dalam tempoh dua hari akan datang.

Justeru, pihak kementerian menggesa penduduk yang tinggal berhampiran dua sungai itu, khususnya di Khartoum, supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Sungai-sungai di Sudan mencapai paras tertinggi sejak 1946, menurut kementerian itu.

Pada Ahad, Majlis Menteri Sudan mengisytiharkan darurat di enam negeri iaitu Sungai Nil, Gezira, White Nile, Kordofan Barat, Darfur Selatan dan Kassala.

Kira-kira 136,000 penduduk terjejas akibat banjir dan hujan lebat yang melanda Sudan sejak Jun, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sudan sering menyaksikan kejadian banjir yang dicetuskan hujan lebat dari Jun hingga Oktober. - Bernama

Artikel Berkaitan: