Jurutera wanita rugi RM261,000 terpedaya pelaburan kupon

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang jurutera wanita kerugian RM261,000 akibat terpedaya sindiket menawarkan pulangan pelaburan kupon tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lima peratus dan pulangan modal dalam tempoh 30 minit pada bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima laporan kejadian itu pada Ahad.

"Warga tempatan berusia 40 tahun yang bekerja sebagai jurutera itu memaklumkan, dia berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki tempatan menerusi aplikasi Tinder pada awal Julai lalu.

"Pada pertengahan Julai lalu, mangsa diperdayakan untuk membeli kupon yang dijual oleh suspek setelah suspek berjanji mangsa akan mendapat keuntungan sebanyak lima peratus dan pulangan modal dalam tempoh 30 minit selepas pembayaran pembelian kupon dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa kemudian membuat 17 transaksi pemindahan secara dalam talian wang simpanannya ke dalam akaun-akaun bank yang diberikan suspek.

"Mangsa turut diberikan pautan laman web untuk melihat keuntungan yang bakal diperoleh, namun pautan tersebut tidak dapat diakses oleh mangsa.

"Lebih malang lagi suspek telah gagal dihubungi. Akibat kejadian itu mangsa kerugian RM261,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara satu hingga 10 tahun selain sebatan dan denda.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali atau dikenali secara maya termasuk apabila melakukan transaksi dalam jumlah yang besar.

"Orang ramai boleh memuat turun aplikasi CCID menerusi 'playstore'untuk tujuan semakan sebelum membuat apa-apa bayaran," katanya.