KDN belum terima laporan rasmi Suhakam: Muhyiddin

Muhyiddin bersama bekas Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria sebelum meninggalkan Dewan Rakyat, hari ini. Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
Muhyiddin bersama bekas Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria sebelum meninggalkan Dewan Rakyat, hari ini. Foto: SINAR HARIAN/ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum menerima laporan rasmi daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai polis terlibat dengan ‘kehilangan’ paderi, Raymond Koh dan aktivis, Amri Che Mat.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur itu perlu diikuti sebelum keputusan kes berkenaan disiasat semula.

“Kita harap Suhakam akan mengemukakan laporan yang telah disiapkan secara rasmi kepada pihak peguam dan disampaikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi kita nak tunggu itu dulu, kemudian kita akan kaji, teliti. Jika ada keperluan tertentu, mungkin boleh buka semula kes tersebut,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Muhyiddin menambah, kes akan dibuka semula sekiranya perkara tersebut mendapat keizinan pihak pendakwa raya.

Terdahulu, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Suhakam dan mahu suruhanjaya itu melakukan siasatan secara profesional.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Suhakam perlu mengemukakan bukti mengenai dakwaan kehilangan Raymond dan Amri.

Kehilangan Amri Che Mat mula disedari ahli keluarganya pada 24 November tahun lalu selepas dikatakan keluar untuk bertemu rakannya manakala pada 13 Februari 2017, Raymond Koh, 62, didakwa telah dilarikan sekumpulan lelaki di Jalan SS4b/10, Petaling Jaya, Selangor.

Artikel Berkaitan: