Rafizi bakal dedah individu bernama Zainab esok

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan menunjukkan dokumen-dokumen didakwanya mempunyai kaitan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dengan individu bernama Zainab Mohd Salleh pada Selasa.

Dakwa bekas Ahli Parlimen Pandan itu, ia juga akan lebih jelas mengapa laporan siasatan dalaman menamakan Dr Abd Latiff sebagai pasangan atau suami kepada Zainab.

Tegasnya, penafian dibuat Abd Latiff sebelum ini adalah sangat lemah kerana beliau telah memperincikan nama syarikat, jumlah yang terlibat dan hubung kait mengenainya.

“Saya juga sertakan perenggan khusus dalam laporan siasatan dalaman yang menyatakan Zainab Mohd Salleh adalah isteri beliau.

“Beliau hanya menafikan yang Zainab Mohd Salleh bukan isterinya dengan merujuk kepada laporan berita yang tular.

“Kebetulan yang tular sebelum itu adalah satu kesilapan seorang netizen yang menuduh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Dialog Berhad sebagai Zainab Mohd Salleh yang terlibat dengan skandal ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Rafizi dalam pendedahan terbaharunya mendakwa, dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Beliau berkata, kewujudan kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (offshore) menggunakan nama Alizes Marine tetapi didaftarkan di dua negara berbeza itu terbongkar melalui siasatan dalaman LCS dan semakan lanjut yang dilakukannya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rafizi, laporan turut menunjukkan pemilikan syarikat oleh wanita itu juga berlaku ketika suaminya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun, Dr Abd Latiff dalam kenyataan balasnya menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal projek LCS merupakan isterinya.

Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan selanjutnya berhubung perkara tersebut.

Rafizi dalam pada itu turut menggesa agar mana-mana pihak tidak cepat ‘menggelabah’ mengenai perkara yang didedahkannya.

“Kawan-kawan yang mengikut jangan cepat gelabah. Ada saja netizen yang cepat-cepat kata serkap jarang dan sebagainya.

“Kamu ingat nak jejaki jerung dan siasat mereka, sebagai rakyat biasa tanpa kuasa, sama macam (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) buat muka sedih minta simpati ke?” soalnya.

Rafizi turut menegaskan bahawa beliau telah berkali-kali dibuktikan benar menerusi pendedahan-pendedahan dibuatnya sebelum ini.