Ketua bahagian dari Sabah tak hadir kerana notis singkat

Kamarlin
Kamarlin
A
A
A

KOTA KINABALU - Tidak ramai ketua UMNO bahagian dari Sabah yang sempat menghadiri mesyuarat tergempar yang diadakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Mengesahkan perkara itu, Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi berkata, beliau juga antara yang tidak dapat menghadiri mesyuarat itu kerana mempunyai komitmen lain selain menerima notis yang singkat mengenai mesyuarat terbabit.

"Saya tidak pergi kerana sedang bermesyuarat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Lagipun saya dapat notis singkat malam tadi kira-kira jam 11 malam oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Saya ingat, Datuk Bung (Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) mewakili Sabah tetapi mungkin ada juga ketua bahagian lain yang datang cuma tidak ramai, mana yang kebetulan berada di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau bagaimanapun kurang pasti siapa ketua bahagian dari Sabah yang sempat hadir, namun yakin ada beberapa orang daripadanya dipercayai mungkin berada dalam mesyuarat itu.

Difahamkan, Presiden UMNO, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan satu mesyuarat tergempar di Menara Dato' Onn yang turut melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO seluruh negara.

Bagaimanapun, inti mesyuarat masih tidak diketahui termasuk Bung Moktar yang memaklumkan bahawa pertemuan itu hanya membincangkan isu semasa.

Artikel Berkaitan: