Empat remaja ditahan menunggang motosikal ala Superman

Empat remaja ditahan selepas didapati melakukan aksi Superman pada malam Ahad.
Empat remaja ditahan selepas didapati melakukan aksi Superman pada malam Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat remaja lelaki ditahan polis selepas dikesan melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal serta berlumba secara berkumpulan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Cheung Eu di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua remaja itu ditahan dalam Ops Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Barat Daya dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang.

Menurutnya, mereka yang berusia 16, 18 dan 19 tahun itu direman tiga hari sehingga 23 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka didapati menunggang motosikal secara berkumpulan serta melakukan aksi ala Superman sambil menduga kelajuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dalam operasi sama, tujuh motosikal disita termasuk motosikal yang digunakan oleh empat remaja yang ditahan tersebut.

"Dalam operasi sama, kita mengeluarkan 28 saman kerana pelbagai kesalahan. Empat remaja tersebut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



"Pihak polis akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan pada setiap masa terutama ketika hujung minggu.

"Ibu bapa juga perlu menasihati dan memantau anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti berbahaya seperti ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan: