Tuduh-menuduh isu LCS tidak selesaikan masalah: Mohd Amar

Mohd Amar (kanan) bersama Mohd Radzi (tengah) ketika menjadi panel forum sempena Program Himpunan Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan pada Ahad.
Mohd Amar (kanan) bersama Mohd Radzi (tengah) ketika menjadi panel forum sempena Program Himpunan Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas kekal dengan pendirian supaya ada siasatan secara telus melibatkan isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi kontroversi ketika ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, siasatan menyeluruh itu perlu dilakukan bagi mendedahkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

"Tuduh-menuduh tidak dapat menyelesaikan masalah kerana tiada siapa yang mahu mengaku salah. Kesudahannya mungkin isu ini dilupakan," katanya kepada pemberita selepas Program Himpunan Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kedua PN di sini pada Ahad.

Mohd Amar berpendapat, walaupun sudah ada yang didakwa melibatkan wang lebih RM20 juta tetapi siasatan perlu diteruskan kerana ia membabitkan peruntukan berjumlah RM6 bilion.

Pada sidang media sama, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu, Pas masih berharap UMNO memahami hasrat parti itu bahawa kebersamaan mereka bertujuan mengelakkan kemenangan Pakatan Harapan di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, Pas Kelantan sedia menerima nekad UMNO negeri ini untuk bergerak sendiri pada pilihan raya akan datang.

"Pas bersedia dengan segala kemungkinan, cuma berharap perkara itu tidak berlaku dan ada kefahaman di antara dua parti supaya tidak bertembung tiga penjuru," katanya.

Mohd Amar dalam pada itu tetap yakin Pas akan menang di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tiga penjuru, berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, insya-ALLAH kita boleh bertahan," katanya.

Beliau turut memaklumkan Pas sedia menerima teguran daripada perwakilan pada Muktamar Pas.

"Kita jangka ini muktamar terakhir sebelum pilihan raya dan berharap semua perwakilan mengambil peluang memberi pandangan dan input yang boleh mengukuhkan parti dalam pilih raya," katanya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pengerusi II Perikatan Nasional (PN) Kelantan sebelum itu menjadi panel forum bersama Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk membahaskan mengenai perkara berkaitan parti dan isu di Kelantan.