Pembelajaran sepanjang hayat

Permohonan kemasukan ke RPJJ fasa kedua masih dibuka sehingga 26 September 2022. - Foto 123rf
Permohonan kemasukan ke RPJJ fasa kedua masih dibuka sehingga 26 September 2022. - Foto 123rf
A
A
A

BARU-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu program Hari Terbuka Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) menyatakan kerajaan berusaha meningkatkan kualiti pendidikan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan memperkasa pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.

Noraini berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), memupuk dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penambahbaikan program secara inovatif.

“Ini bagi memastikan lebih banyak peluang pendidikan tersedia kepada rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 1 September 2011, APEL telah menyediakan laluan alternatif kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan akademik untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) merupakan salah satu pusat pengajian yang menerima kemasukan pelajar dalam kalangan lulusan APEL.

Melalui Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) yang mendapat akreditasi serta kurikulum yang relevan dengan pasaran kerja, setiap pelajar akan mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik dan terjamin.

Lulusan daripada RPJJ di USM bakal memberi anjakan positif kepada majikan melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran yang bakal diterjemah ke dalam bentuk kerja yang lebih produktif dan kompetensi lebih tinggi.

PPPJJ menawarkan empat program sarjana muda iaitu Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) major dalam Kewangan, Pemasaran, Strategi dan Pengurusan Organisasi), Sarjana Muda Sains (Kepujian) (major dalam Biologi dan Matematik), Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) (major dalam Sains Politik dan Antropologi-Sosiologi) dan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) (major dalam Sejarah dan Kesusasteraan).


Artikel Berkaitan:

RPJJ merupakan program akademik yang fleksibel supaya ia sesuai diikuti bagi mereka yang sedang bekerja untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

Justeru, pelajar dibekalkan dengan modul pembelajaran kendiri yang disediakan oleh pensyarah yang terlatih.

Sebagai pelopor dalam agenda pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia, RPJJ telah memberi sumbangan yang signifikan dalam mentransformasikan ekonomi dan sosial masyarakat. Sehingga kini, seramai 20,881 orang telah menjadi alumni RPJJ USM.

Mereka terdiri daripada golongan pekerja yang mengintai peluang mengikuti pengajian tinggi sehingga peringkat ijazah untuk meningkatkan pengetahuan, kebolehan dan kelulusan bagi mencapai kemajuan kerjaya yang lebih baik di sektor kerajaan atau swasta.

Menurut salah seorang alumni RPJJ iaitu Magdelina Depol menyatakan sistem pembelajaran RPJJ USM yang fleksibel telah membolehkan mereka belajar tanpa perlu meninggalkan pekerjaan serta keluarga tercinta dan merealisasikan cita-cita dan impian kami untuk mendapat segulung ijazah.

USM adalah sebuah institusi yang sangat dinamik, maka kami sebagai graduan amat berbangga untuk dikaitkan dengannya.

Kami percaya bahawa dengan komitmen kakitangan dan bimbingan barisan pensyarah, USM telah menetapkan piawaian yang tinggi untuk diikuti oleh institusi pembelajaran jarak jauh yang lain sekurang-kurangnya di rantau ini.

Kami percaya bahawa mod pembelajaran jarak jauh sesuai untuk orang dewasa yang bekerja dan USM memahami keperluan dan kekangan kami. Beliau sekarang merupakan Penerbit Rancangan di Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah.

Dengan model pembelajaran yang fleksibel serta kos pengajian yang sangat kompetitif, RPJJ adalah pilihan tepat untuk bakal pelajar yang mencari peluang menyambung pengajian sambil bekerja tapi berhadapan dengan kekangan masa dan bebanan kewangan.

Walaupun pelajar belajar secara jarak jauh, pelajar tetap dipastikan akan menyerapi roh USM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang menjuarai agenda kelestarian.

Justeru itu, teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai perkhidmatan sokongan menjadi teras untuk memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Sebagai pelajar RPJJ USM, pelajar berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran daripada salah satu universiti penyelidikan tersohor di Malaysia serta universiti yang mempelopori agenda kelestarian, USM berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan keempat dunia dalam penarafan kedudukan THE-GIR 2022.

Permohonan kemasukan ke RPJJ fasa kedua masih dibuka sehingga 26 September 2022.

Rebutlah peluang keemasan ini bagi melanjutkan pengajian di Universiti terkemuka iaitu USM.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://pohon.usm.my atau hubungi PPPJJ di talian 04-653 6197/3286.

*Mohd Rashid Abdul Rejab ialah Timbalan Pendaftar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia