Wanita khayal antara 25 ditahan dalam Ops Pusat Hiburan

Polis melakukan serbuan Ops Pusat Hiburan di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru, pada malam Sabtu.
Polis melakukan serbuan Ops Pusat Hiburan di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru, pada malam Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita dalam keadaan 'khayal' antara pengunjung yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di bandar raya tersebut pada tengah malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi itu seramai 43 pengunjung diperiksa terdiri daripada 33 lelaki dan empat wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 17 hingga 61 tahun.

"Semua individu itu termasuk dua remaja lelaki di bawah umur dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan bagi menjalani ujian saringan air kencing.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati 21 lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua remaja lelaki di bawah umur positif ujian dadah," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Raub berkata, seorang lelaki tempatan yang berkerja sebagai penjaga premis pula ditahan mengikut Seksyen 6 (2) di bawah Enakmen Negeri Johor kerana menjalankan perniagan tanpa lesen hiburan yang sah dan mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing yang tidak memiliki pas pekerjaan sah.

"Tiga wanita warga negara asing pula ditahan di bawah Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bekerja tanpa permit sah," katanya.

Sebelum itu, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerusi Ops Pusat Hiburan pada jam 12.15 tengah malam.