PN Pahang adakan mesyuarat bincang persiapan PRU15

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, antara perkara yang akan dibincangkan termasuk pelantikan Jawatankuasa PN Kawasan Parlimen di negeri ini.

Menurutnya, rundingan awal berhubung perkara itu telah dijalankan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan Negeri namun keputusannya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut.

"Dalam hal ini, sebenarnya sudah ada kesefahaman antara pemimpin parti peringkat akar umbi di kawasan Parlimen untuk memilih wakil parti yang akan mengetuai kawasan Parlimen tersebut.

"Siapa pun yang dilantik mengetuai mana-mana kawasan Parlimen itu ia tidak bermakna parti yang diwakili akan bertanding di kawasan tersebut sebaliknya lebih berfungsi kepada melicinkan pengurusan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs): Peluang Kedua Kehidupan Baharu kepada bekas banduan dan penagih dadah di LYC Car Spa, Jalan Haji Abdul Aziz di sini pada Ahad.

Saifuddin berkata, turut akan dibincangkan rundingan kerusi-kerusi PRU15 bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

Menurutnya, rundingan awal berhubung perkara itu juga sudah dibuat tanpa sebarang tekanan dan perebutan malah akan diagihkan secara saksama antara ketiga-tiga parti.

"Walaupun formula agihan kerusi akan dimuktamadkan Majlis Tertinggi PN tetapi kami di Pahang sekurang-kurangnya telah bersetuju tentang beberapa asas pertimbangan termasuk parti yang menang di mana-mana kawasan Parlimen dan DUN pada PRU14 akan kekal di kerusi tersebut pada PRU15 nanti.

"Seterusnya kita juga akan melihat kawasan sesuai bagi setiap parti di bawah PN bertanding sama ada di Parlimen atau DUN.

"Kita berhasrat untuk bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di Pahang ini," katanya.

Beliau berkata, PN Pahang mempunyai peluang cerah untuk menambah bilangan kerusi dimenangi pada PRU15.

"Keyakinan itu berdasarkan dua faktor iaitu gabungan antara Bersatu dan Pas.

"Pada PRU14, Bersatu dan Pas tidak bertanding sebagai satu gabungan tapi berjaya menang di beberapa kerusi dan kalau faktor ini menjadi ukuran, hasil gabungan yang berlaku berkemungkinan lebih banyak kerusi dapat dimenangi," katanya.

Tambah beliau, pada mesyuarat PN Pahang itu juga turut membincangkan tentang Program Jelajah PN Pahang.

"Program ini telah dimulakan di Rompin dan sambutan diterima amat memberangsangkan justeru siri jelajah ini akan diteruskan ke semua kawasan Parlimen di Pahang dalam masa terdekat," katanya.