Tiada keperluan selaras sijil halal dengan PBT

Idris melihat barangan yang dijual sempena Program Jualan Amal di Markaz Pas Sungai Tinggi, Trong pada Ahad
Idris melihat barangan yang dijual sempena Program Jualan Amal di Markaz Pas Sungai Tinggi, Trong pada Ahad
A
A
A

BUKIT GANTANG - Tiada keperluan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempermudahkan pemberian sijil halal kepada pengusaha mikro, kecil dan sederhana (IKS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, proses permohonan dan kelulusan sijil halal yang dikeluarkan Jakim ketika ini tidak rumit.

Menurutnya, malah tempoh pengeluaran sijil juga hanya dalam tempoh kurang 30 hari jika segala syarat ditetapkan dipenuhi.

"Hendak mintak sijil halal ini mudah. Ikut prosedur operasi standard (SOP) kita dalam masa 30 hari, tetapi dalam tempoh 16 atau 17 hari selesai, dengan syarat dia ikut peraturan yang telah kita tetapkan.

"Kalau tidak dapat itu, memang dia ada masalah sebab tidak ikut syarat. Kita tidak boleh beri sebarangan. Walaupun kata dia orang Islam sendiri pun apabila dia tidak ikut (syarat) kita tidak boleh bagi. Kita kena tengok dari segi kebersihan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jualan Amal di Markaz Pas Sungai Tinggi, Trong di sini pada Ahad

Idris berkata, PBT boleh memberi tumpuan soal lesen perniagaan, penguatkuasaan dan sebagainya.

"Pengeluaran sijil halal harus kekal dilaksanakan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri," katanya.

Media pada 18 Ogos lalu melaporkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) mencadangkan Jakim membuat penyelarasan dengan PBT bagi mempermudahkan PMKS mendapat pensijilan halal.